Langkah berkenaan membebaskan 26 banduan politik Palestin merupakan sebahagian daripada persetujuan dicapai dengan pihak berkuasa Palestin bagi meneruskan rundingan damai yang terbantut sejak tahun 2008.

Semua banduan dihantar pulang ke Gaza dan Ramallah.

Mereka adalah kumpulan pertama dibebaskan daripada keseluruhan 104 susulan rundingan damai Palestin-Israel.

Keputusan dibuat mahkamah tinggi Israel yang dianggotai tiga hakim dan kenyataan menyebut kerajaan berbuat demikian berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan.

Pusingan kedua rundingan damai kedua-dua pihak dijadual berlangsung beberapa jam selepas pembebasan berkenaan di tebing barat.

Sementara itu pengumuman 2000 penempatan baru Israel Ahad lalu mencetuskan kemarahan pihak berkuasa Palestin.

Bagaimanapun seperti dijangka ramai penganalisis tiada bantahan rasmi dibuat.

Malah setiausaha luar Amerika Syarikat, John Kerry meminta pihak berkuasa Palestin tidak melatah dengan penempatan haram Israel demi menjayakan rundingan.

Penganalisis politik Asia Barat, Abdul Bari Atwan bagaimanapun menyelar sikap Washington itu yang disifatkannya dayus bila berdepan dengan kepentingan Israel.

Ia sekaligus menjejaskan kepentingan Palestin yang sepatutnya dipertahankan.

Rundingan damai diadakan melalui perantaraan Amerika Syarikat yang bermula di Washington pada 30 Julai lalu.

Penyelesaian konflik Palestin-Israel sebelum ini gagal dicapai berpunca daripada keghairahan Tel Aviv membina penempatan haram baru.