SYARIKAT kosmetik, Revlon telah memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat ketika gangguan rantaian bekalan terus meningkatkan kos bahan mentah dalam pengeluaran produknya.

Menurut laporan BBC, firma berusia 90 tahun itu memaklumkan, ia juga berdepan isu pembayaran kepada pembekal, inflasi dan kekurangan tenaga kerja.

Tambah syarikat itu, ia menjangkakan menerima sejumlah AS$575 juta (RM2.53 bilion) daripada pemberi pinjaman sedia ada untuk menyokong operasi harian.

Sahamnya rugi lebih daripada 13% dalam dagangan New York selepas pengumuman itu.

Dalam pemfailan mahkamah, syarikat itu berkata, gangguan rantaian bekalan telah menyebabkan persaingan sengit untuk bahan-bahan yang digunakan dalam kosmetiknya.

“Pembekal juga telah meminta untuk membuat bayaran pesanan terlebih dahulu sekali gus menyebabkan “kekurangan bahan-bahan yang diperlukan di seluruh portfolio syarikat.

”Sebagai contoh, satu tiub gincu Revlon memerlukan 35 hingga 40 bahan mentah dan bahagian komponen, yang setiap satunya penting untuk membawa produk itu ke pasaran,” tambah Ketua Pegawai Penstrukturan Semula Revlon, Robert Caruso dalam pemfailan itu.

Selain jenama Revlon, syarikat itu juga memiliki jenama nama terkenal seperti Elizabeth Arden, Almay dan Cutex, dan wangian Christina Aguilera dan Britney Spears.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Revlon telah menghadapi peningkatan persaingan daripada jenama baharu seperti yang disokong oleh selebriti seperti Kylie Cosmetics Kylie Jenner dan Fenty Beauty Rihanna.

Revlon kini menjual produknya di lebih 150 negara.

Awal tahun ini, Revlon memberi amaran berdepan kekangan yang disebabkan oleh cabaran global yang berterusan, termasuk gangguan rantaian bekalan dan peningkatan inflasi.

Syarikat itu kini mempunyai hutang jangka panjang AS$3.3 bilion pada akhir Mac, dan laporan mengenai kebankrapannya yang akan berlaku minggu lalu menyebabkan kejatuhan harga sahamnya.