DUNIA
Ribuan berhimpun di Tunisia sokong misi Sumud Flotilla ke Gaza

Orang ramai berhimpun di Pelabuhan Sidi Bou Said, Tunis, Tunisia bagi menyatakan sokongan terhadap misi Global Sumud Flotilla yang dijadual berlepas untuk menghantar bantuan ke Gaza. - Foto AP
SIDI BOU SAID: Ribuan aktivis dan penyokong pro-Palestin berhimpun di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia, bagi menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang dijadual berlayar ke Gaza minggu ini untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Ringkasan AI
- Aktivis dari 44 negara berkumpul di Tunisia bagi menyokong misi kemanusiaan ke Gaza, termasuk tokoh seperti Greta Thunberg, dalam usaha memecahkan kepungan laut Israel secara aman.
- Salah satu kapal flotila, Alma berbendera British, dilaporkan diserang oleh dron di perairan Tunisia, mencetuskan kebakaran dan kemarahan penyokong; penganjur menuduh Israel sebagai dalang.
- Walaupun berdepan ancaman dan tekanan, penganjur menegaskan Sumud Flotilla akan berlayar pada 12 September untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat konflik dan kepungan.
Menurut penganjur, Sumud Flotilla - yang membawa maksud “keteguhan” dalam bahasa Arab - bertujuan memecahkan kepungan laut Israel ke atas Gaza dan membuka laluan bantuan kemanusiaan secara aman menggunakan kapal awam.
Misi ini dianggap sebagai salah satu konvoi bantuan sivil terbesar dalam sejarah moden, dengan lebih 50 kapal dijadual menyertai pelayaran ke Gaza.
Namun, persiapan misi ini terganggu apabila salah satu kapal flotila dilaporkan diserang oleh dron di perairan Tunisia, menyebabkan kebakaran di dek atas kapal Alma yang berbendera British.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, insiden itu mencetuskan kebimbangan keselamatan dan kemarahan dalam kalangan penyokong.
Penganjur menuduh Israel sebagai dalang serangan tersebut, namun pihak berkuasa Tunisia menafikan pengesanan sebarang dron di kawasan berkenaan.
“Kami tidak akan gentar. Serangan ini hanya menguatkan tekad kami untuk memecahkan kepungan dan membawa bantuan kepada Gaza,” kata Saif Abukeshek, ahli jawatankuasa penganjur flotila, kepada media antarabangsa.
Israel telah mengekalkan kepungan ke atas Gaza sejak 2007, dengan alasan untuk menghalang penyeludupan senjata oleh Hamas.
Namun, pelbagai badan hak asasi dan pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan dan berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah perang.
Sumud Flotilla dijangka berlepas dari Tunisia pada 12 September, bergabung dengan kapal lain dari Eropah sebelum menuju ke Gaza.
Penganjur menegaskan bahawa misi ini akan diteruskan walau apa pun halangan yang dihadapi, demi menyampaikan bantuan kepada ratusan ribu penduduk Gaza yang kini berdepan kebuluran dan kekurangan bekalan asas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami