TEHRAN: Ribuan rakyat Iran turun ke jalanan di Iran pada awal pagi Ahad sebagai tanda sokongan terhadap serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel.

Penunjuk perasaan melaungkan “Kematian kepada Israel!” dan "Kematian kepada Amerika!" di Dataran Palestin Tehran sejurus selepas Pengawal Revolusi mengumumkan pelancaran Operation Honest Promise.

Mereka turut mengibarkan bendera kebangsaan Iran dan Palestin bersama sepanduk bertulis "Kemenangan dari Tuhan sudah hampir."

Serangan Iran hadir sebagai tindakan balas terhadap serangan pada 1 April yang memusnahkan bangunan konsular lima tingkat kedutaan Iran di Damsyik dan membunuh tujuh Pengawal Revolusi, dua daripadanya jeneral.

[LAPOR LANGSUNG] Konflik Iran-Israel: UNSC dijangka adakan mesyuarat tergempar

Tehran sejak itu berikrar untuk membalas dendam terhadap serangan yang dipertanggungjawabkan ke atas Israel.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berjanji bahawa "rejim jahat (Israel) akan dihukum."

Tehran sebelum ini meminta Washington menjauhkan diri daripada konfliknya dengan Israel tetapi harapan Iran musnah selepas seorang pegawai Pentagon mengesahkan bahawa tentera AS menembak jatuh dron ke Israel.

Iran menegaskan mereka bertindak untuk "mempertahankan diri" dan "perkara itu boleh dianggap selesai."

Jangkaan konflik dengan Israel telah mencengkam Iran sejak serangan 1 April ke atas konsulatnya.

"Adalah lebih baik untuk mencapai kompromi supaya perang tidak bermula, dan orang yang tidak bersalah tidak menjadi mangsa," kata Maryam, seorang pekerja sektor swasta berusia 43 tahun.

"Kerajaan kita akan mengutamakan akal daripada emosi," kata Salehi, seorang pesara kakitangan kerajaan berusia 75 tahun di tengah Tehran.

Ehsan, seorang profesor universiti berusia 43 tahun, berkata adalah "logik" untuk membalas dendam.

"Perang sentiasa buruk dan membimbangkan - seseorang yang pernah mengalami perang tidak akan menyokongnya, tetapi kadang-kadang untuk mencapai keamanan, peperangan adalah perlu," tambahnya.