ATHENS: Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan di seluruh Greece pada Sabtu untuk menyuarakan bantahan terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, lapor Xinhua.
Demonstrasi itu dianjurkan oleh pelbagai kumpulan, termasuk parti politik berhaluan kiri, persatuan pelajar, kesatuan pekerja, pertubuhan komuniti pendatang dan pertubuhan bukan kerajaan, ketika konflik memasuki bulan kedua.
Advertisement
Di Athens, perhimpunan utama bermula di luar bangunan parlimen dan berarak ke Kedutaan AS.
Penunjuk perasaan menggesa konflik dihentikan serta-merta, menggesa Greece supaya tidak menyertai peperangan dan mengutamakan perbelanjaan awam untuk kesihatan dan pendidikan berbanding pertahanan.
"Kami di sini untuk menghantar mesej menentang perang, menentang inisiatif peringkat EU (Kesatuan Eropah) yang bertujuan untuk mengukuhkan alat bagi persediaan perang.
Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada perang itu; kami berdiri bersama rakyat dan keamanan," kata penunjuk perasaan Eirini Thanou kepada Xinhua.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Kostas Asimakis berkata protes itu bertujuan memastikan generasi akan datang tidak menanggung akibat daripada konflik semasa.
“Greece sepatutnya langsung tiada kaitan dengan situasi ini, kerana ia hanya akan mengakibatkan kerugian kepada negara kita,” katanya.
Konflik AS-Israel selama sebulan dengan Iran telah menyebabkan ramai terkorban.
Kematian dianggarkan lebih 1,900 orang bagi pihak Iran dengan lebih 24,800 cedera, manakala dilaporkan sekurang-kurangnya 19 tentera Israel dan 13 tentera AS terkorban.
Perang yang berlanjutan menyebabkan gelombang kejutan merentasi landskap geopolitik dan ekonomi, melonjakkan harga minyak, menjejaskan pasaran antarabangsa dan membebankan ekonomi global.
-- BERNAMA-XINHUA