Skip to main content

Dunia

Ribut Boelo bawa angin kencang lebih 128 km/j, amaran jingga di UK

Amaran cuaca jingga mula berkuat kuasa ketika Ribut Boelo melanda beberapa kawasan di United Kingdom (UK) dengan keadaan paling buruk, hanya beberapa jam selepas ribut pertama yang diberi nama pada musim ini membadai negara itu. - Foto REUTERS/Corey Rudy
Amaran cuaca jingga mula berkuat kuasa ketika Ribut Boelo melanda beberapa kawasan di United Kingdom (UK) dengan keadaan paling buruk, hanya beberapa jam selepas ribut pertama yang diberi nama pada musim ini membadai negara itu. - Foto REUTERS/Corey Rudy

Advertisement

LONDON: Amaran cuaca jingga mula berkuat kuasa ketika Ribut Boelo melanda beberapa kawasan di United Kingdom (UK) dengan keadaan paling buruk, hanya beberapa jam selepas ribut pertama yang diberi nama pada musim ini membadai negara itu, lapor PA Media/dpa.

Pejabat Meteorologi (Met Office) memaklumkan kelajuan angin memuncak semalaman dengan tiupan kencang antara 96 hingga 112 kilometer sejam (km/j) menjejaskan kawasan di zon amaran, termasuk Scotland, bahagian Ireland Utara dan kawasan utara England, manakala tiupan angin melebihi 128 km/j di kawasan pesisir pantai yang terdedah.

Menurut pejabat itu, Pulau Tiree di Inner Hebrides, Scotland mencatatkan kelajuan angin 132 km/j kira-kira 4 pagi Ahad.

Amaran jingga Met Office mula berkuat kuasa pada 9 malam Sabtu.

Ribut Boelo menyusuli Ribut Austen, ribut pertama yang diberi nama pada musim ini, yang membawa angin kencang ke beberapa kawasan di UK pada Jumaat.

Hujan lebat sejak 8 pagi Sabtu menyaksikan jumlah hujan mencecah 72 milimeter (mm) di White Barrow, Wiltshire, manakala Cwm Dyli di selatan banjaran Snowdon, Wales Utara dan Inveruglas di tebing barat Loch Lomond, Scotland masing-masing merekodkan 43 mm hujan.

Ratusan rumah di barat daya England masih terputus bekalan elektrik selepas Ribut Austen melanda wilayah itu pada Jumaat.

National Grid memaklumkan bekalan elektrik telah dipulihkan kepada 131,225 premis setakat 7 malam Sabtu.

Amaran jingga bagi angin kencang, iaitu tahap amaran kedua tertinggi Met Office, berkuat kuasa di seluruh Scotland dan utara England hingga ke Carlisle bermula 9 malam Sabtu hingga waktu yang sama pada Ahad.

Satu lagi amaran jingga dikeluarkan bagi timur laut Ireland Utara dari 9 malam Sabtu hingga 10 pagi Ahad.

Met Office memberi amaran bahawa Ribut Boelo boleh mengancam nyawa akibat objek yang diterbangkan angin dan ombak besar, sambil menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan.

Amaran jingga itu turut berada dalam kawasan amaran kuning bagi angin kencang yang lebih luas, meliputi beberapa bahagian England dan Wales Utara serta seluruh Ireland Utara.

Agensi Alam Sekitar mengeluarkan 66 amaran awal banjir bagi kawasan di seluruh England yang berkemungkinan dilanda banjir setakat 5 pagi Ahad, selain 14 amaran bahawa banjir dijangka berlaku.

Polis Cumbria memaklumkan pihaknya menerima "beberapa panggilan sepanjang malam berhubung banjir setempat dan pokok tumbang yang menghalang jalan raya" di seluruh daerah itu.

Menurut polis, pasukan kecemasan sedang berusaha membersihkan halangan berkenaan, manakala pemandu dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar Scotland pula memaklumkan sebanyak 30 amaran banjir dan 11 amaran awal banjir masih berkuat kuasa setakat 5 pagi.

Ketua Pegawai Ramalan Cuaca Met Office Jason Kelly berkata: "Kesan Ribut Boelo akan dirasai di seluruh UK hujung minggu ini, dengan angin paling kencang dan risiko gangguan paling besar dijangka berlaku di utara negara itu.

"Orang ramai perlu bersedia menghadapi kemungkinan gangguan, khususnya terhadap perjalanan dan bekalan elektrik."

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan barangan di luar rumah yang mudah diterbangkan angin diikat atau disimpan dengan selamat, merancang perjalanan lebih awal serta sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca terkini.

Ribut Boelo telah menyebabkan gangguan meluas.

Angin kencang menjejaskan penerbangan di Lapangan Terbang Dublin, dengan sembilan penerbangan berlepas dan 10 penerbangan tiba dibatalkan oleh syarikat penerbangan setakat 4 petang Sabtu akibat keadaan cuaca.

Network Rail turut berkongsi gambar sebuah trampolin yang tersangkut di bawah kereta api serta sebuah bangsal berhampiran landasan, sambil menggesa penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api supaya memastikan perabot taman mereka diikat dengan kukuh.

Visit Liverpool mengumumkan bahawa acara River of Light di wilayah itu, yang menampilkan karya seni bercahaya, dibatalkan atas faktor keselamatan.

Sambutan tahunan Diwali on the Square di London yang dijadual berlangsung pada Ahad turut dibatalkan atas saranan pakar kesihatan dan keselamatan bebas berikutan ribut berkenaan.

Beberapa acara dan lokasi tarikan pelancong turut mengumumkan penutupan pada Ahad, termasuk Istana Edinburgh dan kawasan Fountains Abbey di North Yorkshire, yang dijadual menganjurkan acara Fountains by Floodlight pada hari sama.

Cuaca buruk dijangka berulang lewat minggu ini dengan amaran kuning bagi angin kencang berserta tiupan yang berpotensi merosakkan bermula dari 3 pagi Selasa hingga tengah malam.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement