Salji terburuk yang membawa bersama Ribut Jonas atau dikenali "Snowzilla" sejak Jumaat lepas di sebahagian besar negeri Amerika Syarikat (AS) telah meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa di 11 negeri.

Sehingga kini, kawasan di timur negara itu sudah mula pulih daripada fenomena alam tersebut walaupun masih terdapat beberapa kawasan kekal lumpuh berikutan cuaca dan ribut bersalji.

Di New York City, kerja-kerja membersihkan longgokan salji giat dijalankan pihak berkuasa selepas larangan perjalanan ke kota raya itu yang dikenakan sejak Sabtu ditarik balik.

Bagaimana pun Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata, keadaan mungkin kembali buruk dan sukar diramalkan.

New York, bandar paling padat penduduk di AS dilanda salji kedua terburuk dalam sejarahnya sejak 1869 apabila salji direkod setebal 101 sentimeter.

"Walaupun larangan perjalanan sudah ditarik balik, penduduk New York masih perlu berhati-hati,'' katanya pada satu sidang media.

Ribut
Serentak pengumuman itu, New York terus bangkit daripada situasi lumpuh dan kembali cergas dengan jadual perjalanan pengangkutan awam beroperasi semula.

Manakala, jalan raya turut dibuka semula di seluruh bandar di Long Island dan di New Jersey.

Ribuan orang memenuhi kawasan taman, bermain salji, menganjurkan pertandingan lawan bola salji dan ski merentas desa sambil kanak-kanak gembira bermain salji di bawah cahaya matahari.

Sementara itu, pertunjukan pementasan broadway diteruskan semula selepas dibatalkan pada Sabtu dan muzium dibuka semula manakala kawasan yang diselaputi salji di jalan utama dibersihkan dengan segera.

Sementara itu, ketika New York sudah mula bangkit daripada situasi lumpuh gara-gara salji buruk, Washington masih terjejas.

Pejabat kerajaan dan sekolah kekal ditutup sehingga Isnin apabila salji setebal 56 sentimeter landa ibu negara itu, sekali gus melumpuhkan operasinya.

Di Washington DC misalnya, perkhidmatan kereta api masih digantung dan penerbangan udara turut terganggu kerana cuaca bersalji.

7,000 penerbangan dibatalkan pada hujung minggu dengan ia dijangka berlanjutan sehingga Selasa ini.

Pada Ahad sahaja, sekurang-kurangnya 615 penerbangan dibatalkan.

Rekod tertinggi bacaan salji turut dicatat di beberapa bandar lain dan merebak sehingga ke Pantai Timur dengan Philadelphia dan Baltimore turut menerima sebahagian daripada kesan paling teruk akibat bencana alam itu.

Sementara itu, Ribut Jonas atau sesetengah pihak memanggilnya "Snowmageddon" semakin melemah dan kini menuju ke Atlantik.

 ketika New York sudah mula bangkit daripada situasi lumpuh gara-gara salji buruk, Washington masih terjejas.
Destinasi seterusnya bagi ribut itu ialah Britain.

Amaran hujan lebat dan banjir yang dikhuatiri dibawa bersama Ribut Snowzilla itu sudah dikeluarkan Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom (UK).

Antara lain, kenyataan menyebut, Ribut Jonas kini dalam perjalanan merentasi Laut Atlantik dengan sebahagian besar Wales, barat laut England dan barat Scotland diramal terjejas.

Pejabat Kaji Cuaca UK turut memberi amaran hujan lebat dan bahaya serta banjir akan dibawa bersama Ribut Jonas.

"Cuaca sejuk dijangka bergerak perlahan di seluruh Wales, barat laut England serta selatan dan barat Scotland sepanjang Selasa hingga Rabu sebelum menuju ke selatan. Udara panas tropika dijangka memasuki sistem, menjurus kepada cuaca lembap dan hujan lebat."

"Kebanyakan bahagian di kawasan amaran mungkin menyaksikan antara 50 hingga 100 milimeter hujan, sementara kawasan paling terdedah di utara Wales, barat laut England dan tenggara Scotland mungkin menyaksikan antara 150 hingga 200 milimeter hujan, ia ada potensi sungai melimpah dan banjir di jalan raya. Malah angin kencang barat daya juga akan terbentuk," kata seorang jurucakap Pejabat Kaji Cuaca UK.

Sehubungan itu, rakyat Britain diberi amaran supaya bersiap sedia berdepan keadaan cuaca buruk bermula Selasa ini