Skip to main content

Dunia

Rubio: Rancangan serangan Israel cetus tindakan AS menyerang Iran

U.S. Secretary of State Marco Rubio speaks to reporters in a departure lounge before returning to Washington following meetings with Caribbean Community (CARICOM) leaders, at Robert L. Bradshaw International Airport in Basseterre, Saint Kitts and Nevis, February 25, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst/Pool
Rubio mendakwa, Iran telah mengarahkan komander lapangan untuk bertindak balas secara automatik terhadap pasukan AS jika diserang. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran hanya selepas mengetahui bahawa Israel merancang serangan dan bimbang Tehran akan membalas terhadap anggota tentera AS, kata Setiausaha Negara, Marco Rubio pada Isnin.

“Kami tahu bahawa akan ada tindakan oleh Israel. Kami tahu ia akan mencetuskan serangan terhadap pasukan Amerika dan kami tahu bahawa jika kami tidak bertindak dahulu sebelum mereka melancarkan serangan itu, kami akan menanggung korban yang lebih besar,” kata Rubio kepada wartawan.

Advertisement

Rubio yang sedang bersiap untuk memberi taklimat kepada ahli kongres utama AS mendakwa, Iran telah mengarahkan komander lapangan untuk bertindak balas secara automatik terhadap pasukan AS jika diserang.

“Jika kami hanya menunggu serangan itu datang sebelum bertindak balas, kami akan mengalami korban jauh lebih tinggi. Jadi presiden membuat keputusan yang sangat bijak” untuk menyerang bersama Israel, kata Rubio.

Ditanya sama ada AS berdepan ancaman segera daripada Iran - satu ambang penting kerana Kongres mempunyai kuasa Perlembagaan untuk mengisytiharkan perang, Rubio sekali lagi merujuk kepada rancangan Israel.

“Memang wujud ancaman segera dan ancaman itu ialah kami tahu bahawa jika Iran diserang - dan kami percaya mereka akan diserang - mereka akan segera menyerang kami,” kata Rubio.

“Kami tidak akan hanya duduk menunggu untuk dipukul,” katanya, sambil menambah jika Iran menyerang pasukan AS terlebih dahulu, “kita semua di sini akan ditanya mengapa kita sudah tahu tetapi tidak bertindak.”

Wakil Joaquin Castro, seorang Demokrat berkata, kenyataan Rubio menunjukkan Israel “meletakkan pasukan AS dalam bahaya dengan berkeras mahu menyerang Iran.”

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh Presiden dan tidak boleh diterima bagi negara yang menggelar dirinya sekutu kami,” tulis Castro di X.

Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth sebelum ini berkata, Israel melancarkan serangan pada Sabtu di Tehran yang membunuh Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pegawai penting lain selepas risikan menunjukkan mereka sedang bermesyuarat.

Namun, Rubio berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump sememangnya percaya serangan ke atas Iran perlu dilakukan, tanpa mengira bagaimana detiknya tercetus.

“Apa pun yang berlaku, operasi ini memang perlu dilakukan,” kata Rubio.

Rubio berkata, AS ingin melihat kerajaan ulama Iran digulingkan, tetapi itu bukan matlamat utama serangan tersebut.

“Kami berharap rakyat Iran dapat menumbangkan kerajaan ini dan membina masa depan baharu untuk negara mereka. Itu adalah sesuatu yang kami mahu lihat,” katanya.

“Tetapi objektif misi ini ialah memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik dan keupayaan tentera laut mereka.”

Jabatan Negara AS pada Isnin menggesa rakyat Amerika meninggalkan sebahagian besar Asia Barat, termasuk Mesir dan negara-negara Teluk, susulan perang AS-Israel menentang Iran.

Jabatan itu “menggesa rakyat Amerika berangkat segera dengan di bawah menggunakan pengangkutan komersial yang ada, kerana risiko keselamatan yang serius,” tulis Mora Namdar, pembantu Setiausaha Negara bagi hal ehwal konsular, di X, sambil menyenaraikan 14 negara. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found