Skip to main content

Malaysia

MOT, MINDEF kenal pasti 3,208 kekosongan jawatan untuk bakal pesara, veteran ATM

SEREMBAN, 16 Jun -- Barisan ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun ke-103 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Perhimpunan Agung PVATM ke-99 di Dewan Majlis Bandaran Seremban hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Veteran ATM adalah aset strategik negara yang memiliki pengalaman operasi yang luas, kemahiran teknikal relevan, disiplin tinggi serta keupayaan kepimpinan yang diperlukan industri. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,208 kekosongan jawatan dalam sektor pengangkutan telah dikenal pasti sebagai langkah awal kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT), dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kekosongan jawatan itu meliputi subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan, sekali gus menyediakan laluan kerjaya kedua yang lebih tersusun dan mampan kepada anggota ATM selepas menamatkan perkhidmatan.

Menurut kenyataan bersama MOT dan MINDEF hari ini, peluang pekerjaan berkenaan turut membantu memenuhi keperluan tenaga kerja industri pengangkutan yang semakin meningkat.

Kerjasama itu memperkukuh pembangunan modal insan negara menerusi peluasan akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran, peningkatan kemahiran, latihan semula serta penempatan pekerjaan bagi bakal pesara dan veteran ATM dalam sektor pengangkutan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, memperluas peluang pekerjaan berkualiti, serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif tersebut turut menyokong agenda nasional untuk memperkukuh ekosistem TVET yang lebih inklusif, responsif dan berorientasikan industri.

Menurut kenyataan itu, veteran ATM adalah aset strategik negara yang memiliki pengalaman operasi yang luas, kemahiran teknikal relevan, disiplin tinggi serta keupayaan kepimpinan yang diperlukan industri.

“Inisiatif ini merupakan susulan kepada aspirasi yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara untuk memperluas akses latihan dan peluang pekerjaan kepada kumpulan sasar berpotensi, termasuk bakal pesara dan veteran ATM,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), kerjasama itu turut menyokong usaha kerajaan membangunkan bakal pesara dan veteran ATM sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan.

Inisiatif berkenaan juga seiring dengan aspirasi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang memberikan penekanan kepada pembangunan kelestarian ekonomi veteran ATM melalui penyediaan peluang latihan, pembangunan kompetensi, pemadanan pekerjaan dan pembangunan kerjaya secara lebih sistematik.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) turut memeterai nota persefahaman (MoU) dengan 10 agensi, syarikat dan persatuan industri sektor pengangkutan bagi memperluas akses latihan serta peluang pekerjaan.

Antara pihak yang terlibat ialah Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), MMC Port Holdings Bhd, Port Klang Free Zone Sdn Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd, Persatuan Haulier Malaysia, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, Evolution Commerce Sdn Bhd dan Sin Hock Soon Group.

Dalam pada itu, MOT melalui MRDC akan menyelaras penglibatan pemain industri dalam mengenal pasti keperluan tenaga kerja, peluang latihan serta penempatan pekerjaan yang bersesuaian untuk bakal pesara dan veteran ATM.

Kerjasama itu turut merangkumi pelaksanaan program pembangunan kompetensi, pensijilan profesional, pemadanan pekerjaan berdasarkan keperluan industri serta pemantauan berterusan bagi memastikan keberkesanan program.

Pada majlis yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyerahkan lesen memandu awam kepada bakal pesara ATM yang layak menerusi inisiatif pertukaran lesen memandu tentera kepada lesen memandu awam bagi memudahkan peralihan kerjaya mereka ke sektor awam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement