GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pada sidang akhbar di Geneva pada Rabu, dengan usaha bersepadu dan penyelarasan, tindak balas terhadap wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) semakin membuahkan hasil, lapor Xinhua.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang baru pulang dari lawatan ke DRC, berkata beliau berasa yakin dengan tahap komitmen yang dilihatnya di negara itu.
"Apa yang saya lihat memberi saya harapan, walaupun cabaran masih ada."
Tedros berkata di DRC, 344 kes telah disahkan, termasuk 60 kematian, di 24 zon kesihatan di tiga wilayah, manakala jumlah kes yang disyaki berkurang kepada 116 daripada lebih 1,000 minggu lepas.
Tedros berkata penilaian risiko WHO kekal tidak berubah iaitu sangat tinggi di peringkat nasional, tinggi di peringkat serantau dan rendah di peringkat global.
"Wabak ini mempunyai permulaan yang besar, dan kami masih ketinggalan, namun di bawah kepimpinan Kerajaan DRC, kami mengejarnya (untuk mengatasi wabak)," katanya.
Bagaimanapun, Tedros menyatakan beberapa cabaran.
Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan kapasiti makmal dan diagnostik bagi mengurangkan kelewatan dalam pengesahan kes dan menyokong keputusan tindak balas yang lebih pantas, serta kesukaran dalam pengesanan kenalan di DRC.
Beliau juga membangkitkan mengenai sekatan perjalanan yang mengganggu rantaian bekalan dan menghalang tindak balas, ketidakpercayaan masyarakat dan ketiadaan vaksin berlesen atau terapeutik khusus untuk strain ebolavirus Bundibugyo.
-- BERNAMA-XINHUA