BANGKOK: Selepas hampir setahun tergendala, Proses Dialog Damai di Selatan Thailand akan disambung semula bulan depan, menyemarakkan harapan untuk menamatkan konflik di selatan Thailand yang berlanjutan sejak berpuluh tahun lamanya.

Rundingan damai itu terhenti selepas Barisan Revolusi Nasional (BRN), iaitu kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand mengumumkan penangguhan rundingan sementara menunggu Pilihan Raya Umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baharu tahun lepas.

Menerusi temu bual dengan PBS Thai di Bangkok baru-baru ini, Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di wilayah itu Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyuarakan harapan agar rundingan damai pusingan seterusnya yang dijadual pada Februari di Kuala Lumpur akan menentukan agenda dan objektif proses damai terbabit.

Dalam pertemuan akan datang, Zulkifli berkata beliau akan menjelaskan matlamat akhir rundingan damai kepada BRN "untuk dihadam, dibincangkan dan membuat keputusan".

"Saya optimis sesuatu yang kukuh akan berlaku tahun ini. Bagaimanapun, mengenai sama ada kita boleh memeterai perjanjian damai bergantung kepada kedua-dua pihak.

"Masih terlalu awal untuk saya katakan dengan yakin bahawa kita akan mencapai sesuatu menjelang akhir tahun sehingga saya bertemu dan berbincang dengan BRN," katanya.

Zulkifli menambah bahawa beliau terus berkomunikasi dengan wakil-wakil BRN meskipun ketika rundingan damai tertangguh sebelum ini.

"Wakil BRN menzahirkan hasrat mereka untuk menyambung semula rundingan damai," katanya.

Zulkifli dilantik sebagai Ketua Fasilitator kerajaan Malaysia bagi proses Rundingan Damai di selatan Thailand berkuat kuasa 1 Jan 2023. Chatchai Bangchuad telah dilantik sebagai ketua perunding mewakili kerajaan Thailand yang baharu pada November tahun lepas.

Minggu lepas, Zulkifli mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Somsak Thepsuthin di Bangkok bagi membincangkan rancangan kerajaan baharu Thailand bagi rundingan damai itu. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Chatchai.

Beliau berkata sinaran harapan nampak lebih cerah selepas lawatan kerjanya ke wilayah selatan pada Februari tahun lepas, serta lawatan baru-baru ini ke Bangkok.

Mengenai persoalan sama ada Malaysia boleh menjadi perantara yang jujur, Zulkilfi berkata Malaysia terus mendapat kepercayaan daripada kerajaan Thailand dan BRN.

"Saya dapat rasakan, melihat dan mendengar bahawa tahap keyakinan terhadap Malaysia sebagai fasilitator untuk rundingan damai semakin meningkat," katanya.

Sebagai ketua fasilitator kerajaan Malaysia, Zulkifli berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberinya tiga panduan untuk memudahkan rundingan damai itu.

"Beliau (Anwar) berkongsi tiga perkara penting dengan saya dan saya sentiasa berpegang teguh kepadanya. Pertama, Malaysia tidak mempunyai agenda tersembunyi. Kedua, tingkatkan defisit kepercayaan. Ketiga, lakukan secara telus. Saya mematuhi panduan ini sepanjang masa," katanya.

Proses rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN bertujuan mencari penyelesaian untuk menamatkan konflik yang memuncak pada Januari 1994 di wilayah selatan Narathiwat, Yala, Pattani, dan sebahagian Songkhla.

Pada 22 Feb tahun lalu, Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP) dan BRN telah sepakat membentuk Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Pendamaian (JCPP) sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024 demi mencari penyelesaian ke arah menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

JCPP yang dipersetujui dalam Mesyuarat Rasmi Proses Dialog Keamanan Keenam di Kuala Lumpur, membawa sinar harapan bagi menyelesaikan konflik serantau.

Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di selatan Thailand sejak 2004, telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

-- BERNAMA