MOSCOW: Sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh manakala 40 lagi cedera selepas sebuah dron terhempas di sebuah pantai yang sesak dengan pengunjung di selatan Rusia, menurut pihak berkuasa tempatan.
Rakaman yang tular di media sosial dan disahkan BBC menunjukkan sebuah dron meluncur laju ke arah kawasan tebing sebelum meletup dalam satu bebola api di pantai, ketika orang ramai berada di pesisir pantai dan di dalam air.
Gabenor wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratye, berkata, 17 mangsa yang cedera kini dirawat di hospital.
Beliau menuduh Ukraine melancarkan "serangan sengaja terhadap orang awam."
Setakat ini, Kyiv belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.
Kedua-dua pihak sebelum ini menafikan sengaja menyasarkan orang awam dalam konflik yang berlarutan sejak 2022.
Lokasi sebenar sasaran dron itu bagaimanapun masih tidak jelas.
Beberapa saluran Telegram yang pro-Ukraine mendakwa, dron berkenaan terhempas ke pantai selepas sistem peperangan elektronik Rusia mengganggu isyarat kawalannya.
Pada masa sama, beberapa saksi yang dipetik media Rusia mendakwa, mereka terdengar bunyi tembakan sebelum letupan berlaku, sekali gus mencetuskan kemungkinan sistem pertahanan udara cuba menembak jatuh dron berkenaan.
Insiden itu berlaku di sebuah pantai berhampiran perkampungan Arkhipo-Osipovka di pesisir Laut Hitam.
Kawasan peranginan itu terkenal dalam kalangan pelancong Rusia kerana iklimnya yang panas, pantai yang panjang serta kemudahan pelancongan yang lengkap, lebih-lebih lagi selepas sekatan antarabangsa mengehadkan perjalanan ke luar negara bagi ramai rakyat Rusia.
Penduduk dan pelancong di Arkhipo-Osipovka memaklumkan, tiada siren amaran dibunyikan sebelum serangan berlaku.
"Kami berlindung di sebalik kerusi pantai dan tidak nampak di mana letupan berlaku," kata seorang pelancong.
Seorang lagi saksi berkata, dia tidak melihat dron itu menghentam kawasan pantai, namun mendengar bunyi tembakan yang disifatkan seperti senapang mesin sebelum satu letupan kuat berlaku.
"Semua ini berlaku di depan anak-anak saya. Anak saya mengalami trauma akibat kejadian tersebut," kata seorang lagi saksi.
Dalam tempoh setahun lalu, Ukraine semakin berjaya melancarkan serangan jarak jauh ke sasaran jauh di dalam wilayah Rusia, termasuk kemudahan tenaga dan gudang komersial yang didakwa digunakan bagi menyokong operasi ketenteraan Moscow.
Beberapa serangan sedemikian turut mengakibatkan kematian orang awam. Pada hujung minggu lalu, lapan individu dilaporkan terbunuh dalam beberapa serangan di bandar-bandar Rusia.
Pada masa sama, Rusia terus melancarkan serangan ke atas kawasan penempatan dan bandar di Ukraine sejak pencerobohan berskala penuh bermula pada Februari 2022, menyebabkan ribuan orang awam terbunuh dan cedera.
Pada Sabtu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam serangan peluru berpandu balistik Rusia ke atas Kyiv.
Datuk Bandar Kyiv memaklumkan, sebuah bangunan kediaman di daerah Shevchenkivskyi musnah sebahagiannya sehingga menyebabkan beberapa individu terperangkap di bawah runtuhan.
Minggu lalu, satu lagi serangan di wilayah Kryvyi Rih mengorbankan 10 anggota sebuah keluarga.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Ukraine turut memberi tumpuan kepada serangan terhadap gudang milik Wildberries, syarikat peruncitan dalam talian terbesar di Rusia yang sering digelar sebagai "Amazon Rusia."
Serangan terbaharu menyasarkan sebuah gudang Wildberries di wilayah Vladimir, timur Moscow, pada awal pagi Isnin.
Puluhan gudang syarikat itu di seluruh Rusia, termasuk yang terletak ribuan kilometer dari sempadan Ukraine dilaporkan menjadi sasaran.
Kyiv mendakwa, kemudahan milik Wildberries digunakan bagi membekalkan keperluan tentera Rusia, namun dakwaan itu dinafikan Moscow.
Walau bagaimanapun, platform berkenaan sebelum ini dilaporkan menjual pelbagai produk berkaitan ketenteraan termasuk perisai badan, selain barangan yang mempunyai kegunaan awam dan aplikasi dalam pengeluaran dron.