DUNIA
Rusia lapor serangan dron terkini ke atas Moscow

Serangan dron Ukraine yang masuk ke kawasan berpenduduk di Rusia bukan satu insiden baharu, malah sudah terjadi sejak beberapa bulan lalu. - AP
MOSCOW: Pertahanan udara Rusia menembak jatuh sekurang-kurangnya 93 dron semalaman dalam serangan oleh pasukan tentera Ukraine ke atas Moscow, lapor agensi berita Jerman dpa yang memetik kenyataan pegawai pada Ahad.
Tiada maklumat diperoleh mengenai jumlah korban atau tahap kerosakan yang berlaku.
Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 19 dron telah ditembak jatuh di wilayah Moscow. Sekitar 10 wilayah disasarkan, terutamanya di Bryansk dan Kursk yang bersempadan dengan Ukraine.
Datuk Bandar Moscow Sergey Sobyanin sebelum ini melaporkan serangan dron berlaku hampir setiap hari. Beliau berkata pasukan penyelamat telah dikerahkan ke kawasan yang terjejas akibat serpihan dron.Pihak berkuasa penerbangan Rosaviatsiya melaporkan bahawa penerbangan di empat lapangan terbang di ibu negara Rusia itu terganggu buat sementara waktu akibat serangan berkenaan.
Pada Sabtu, Ukraine melancarkan serangan dron ke atas beberapa sasaran di Rusia sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan diri daripada pencerobohan Moscow.
Ukraine menyatakan bahawa serangan ke atas wilayah sempadan Rusia bertujuan mengganggu bekalan ketenteraan dan menegaskan bahawa kerosakan ke atas orang awam di Rusia adalah jauh lebih kecil berbanding yang dialami rakyat Ukraine akibat serangan Rusia.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami