MOSCOW: Rusia mahu Afrika muncul sebagai tunjang utama sebuah dunia multipolar dan kekal komited untuk mempertahankan hak penduduk Afrika menentukan masa depan mereka sendiri secara bebas, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Rusia berminat untuk mengembalikan benua Afrika sebagai sebuah pusat berpengaruh dalam dunia multipolar. Rusia komited sepenuhnya terhadap hak mutlak warga Afrika untuk menentukan hala tuju dan model pembangunan mereka sendiri secara bebas," kata Lavrov pada persidangan antarabangsa mengenai usaha merapatkan hubungan antara Rusia dengan Afrika.
Kerjasama antara Rusia dengan Afrika mempunyai kepentingan strategik, merangkumi pelbagai bidang daripada politik dan ekonomi hingga pendidikan dan kebudayaan, katanya.
"Pengukuhan kerjasama ini sudah pasti akan dipermudah melalui sidang kemuncak Rusia-Afrika ketiga yang bermula di Moscow esok," kata menteri itu.
Sidang Kemuncak Rusia-Afrika ketiga akan berlangsung di Moscow pada 28 hingga 29 Okt. Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata majoriti delegasi Afrika telah mengesahkan penyertaan mereka.
Beliau berkata Rusia bersedia menawarkan penyelesaian termaju kepada Afrika dalam semua bidang, termasuk sektor tenaga dan pendigitalan.
"Kami bersedia menawarkan penyelesaian termaju kepada rakan-rakan Afrika kami. Anda mungkin beranggapan ia hanya melibatkan satu bidang, tetapi saya ingin menegaskan bahawa tawaran ini merangkumi semua bidang yang berkepentingan," kata Zakharova pada Forum Media Rusia-Afrika 2026.
Diplomat itu menyenaraikan pertanian, tenaga, digitalisasi, penjagaan kesihatan, pendidikan, kebudayaan, seni dan sukan sebagai antara bidang berkenaan.
Hubungan antara Rusia dengan Afrika mempunyai pelbagai dimensi dan berorientasikan hasil, kata Zakharova.
Beliau berkata Afrika bertahan menghadapi tekanan Barat dan tidak berganjak daripada pendirian prinsipnya dalam menyokong Rusia.
"Warga Afrika memberitahu kami, 'Kami mengingati sumbangan Rusia.' Saya ingin membalasnya dengan menyatakan bahawa kami juga tidak akan melupakan bagaimana Afrika tetap teguh menghadapi tekanan Barat tanpa sekali pun berundur daripada pendirian prinsipnya," kata Zakharova.
Negara Afrika dikenakan tekanan, ugutan pemerasan dan ancaman, dengan tawaran pinjaman, makanan serta sokongan politik diberikan sebagai balasan sekiranya mereka menghentikan kerjasama dengan Rusia, kata jurucakap itu.
Amat sukar bagi kesemua negara berkenaan untuk mempertahankan pendirian mereka, mengambil kira cabaran yang dihadapi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan, selain keperluan mendesak terhadap dana dan bekalan makanan.
Zakharova berkata sidang kemuncak Rusia-Afrika ketiga itu akan menghasilkan keputusan dan pencapaian penting.
"Kami bekerjasama dengan struktur dan persatuan antarabangsa Afrika dalam kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika, BRICS dan lain-lain... Sidang Kemuncak Rusia-Afrika ketiga ini akan menghasilkan keputusan dan pencapaian penting."
Peserta asing yang menghadiri sidang kemuncak itu, termasuk wartawan, turut berdepan cubaan untuk memujuk mereka supaya membatalkan perjalanan atau menghalang mereka daripada pergi ke Rusia, kata jurucakap itu lagi.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI