Skip to main content
Advertisement

Malaysia

46 gelandangan diselamatkan di 15 lokasi tumpuan Pulau Pinang

Sebanyak 46 gelandangan diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan yang dijalankan di 15 lokasi tumpuan sekitar daerah Timur Laut, hari ini. - Foto Facebook Lim Siew Khim
Sebanyak 46 gelandangan diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan yang dijalankan di 15 lokasi tumpuan sekitar daerah Timur Laut, hari ini. - Foto Facebook Lim Siew Khim

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seramai 46 gelandangan diselamatkan dalam Operasi Bersepadu di 15 lokasi sekitar daerah Timur Laut hari ini.
  • Sembilan individu ditempatkan di Pusat Transit Harapan, manakala dua diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut.
  • Orang ramai diminta menyalurkan sumbangan melalui PTH atau NGO bagi memastikan bantuan diagihkan mengikut keperluan sebenar.

GEORGE TOWN: Sebanyak 46 gelandangan diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan yang dijalankan di 15 lokasi tumpuan sekitar daerah Timur Laut, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata daripada jumlah itu, sembilan individu ditempatkan di Pusat Transit Harapan (PTH) manakala dua lagi diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

"Kes-kes lain diberikan tindakan susulan bersesuaian mengikut keperluan dan prosedur yang ditetapkan. Setiap individu mempunyai latar belakang dan keperluan berbeza, justeru tindakan susulan perlu dilaksanakan berdasarkan keadaan setiap kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak mengagihkan makanan secara langsung di tepi jalan kepada golongan gelandangan, sebaliknya menyalurkan sumbangan melalui PTH atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bantuan dapat diselaras dan diagihkan mengikut keperluan sebenar.

Lim berkata walaupun niat membantu golongan itu amat dihargai, pemberian makanan secara berlebihan di lokasi tertentu boleh menyebabkan pembaziran dan menggalakkan orang ramai berkumpul di kawasan berkenaan.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, AADK dan Jabatan Kesihatan Negeri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement