Ringkasan AI
- Pakatan Harapan menyasarkan untuk mempertahankan semua kerusi penyandang dan merampas beberapa kerusi berpotensi pada PRN Melaka.
- Majlis Presiden PH telah membincangkan persiapan jentera dan menerima taklimat mengenai kesiapsiagaan peringkat negeri Melaka.
- Pusat media utama Jabatan Penerangan akan beroperasi di MITC, Ayer Keroh dari 30 Oktober hingga 14 November untuk liputan PRN Melaka.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk mempertahankan semua kerusi penyandangnya, selain mengintai peluang merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sasaran itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH bagi memperincikan persiapan jentera gabungan berkenaan menghadapi pilihan raya itu.
Beliau berkata, PH menetapkan usaha mempertahankan kerusi sedia ada sebagai asas, namun tidak menolak kemungkinan meraih kemenangan di beberapa kerusi lain berdasarkan strategi dan gerak kerja yang dilaksanakan.
"Dari segi calon yang diumumkan sebelum ini, saya lihat gerak kerja mereka diteruskan dan kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, iaitu hari penamaan calon, insya-Allah calon PH bersedia untuk berdepan dengan semua yang bertanding pada PRN Melaka.
"Baseline kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi.
"Sekiranya usaha, ikhtiar dan strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita membawa perubahan. Sasaran kita realistik dan kita faham keadaan, namun ada beberapa perkara yang memungkinkan kerusi yang kita sasarkan itu berpindah kepada PH,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di sini, pada Selasa.
Kira-kira 1,600 penduduk Parlimen Lembah Pantai menerima baucar bernilai RM150 setiap seorang sempena Deepavali bagi membantu meringankan kos sara hidup dan persiapan menyambut perayaan itu.
Mengulas persiapan jentera, Fahmi berkata, Majlis Presiden PH menerima taklimat daripada Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim, berhubung tahap kesiapsiagaan di peringkat negeri.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta beberapa usaha pelaksanaan reformasi kerajaan.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebuah pusat media utama kendalian Jabatan Penerangan akan beroperasi dari 30 Oktober hingga 14 November ini bagi memudahkan urusan petugas media sepanjang liputan PRN Melaka.
Pusat media itu akan ditempatkan di Hotel Mudzaffar, Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.