Skip to main content
Advertisement

Sukan

ACLE: Munoz puji kematangan taktikal JDT benam Port FC

MUNOZ: Tahniah kepada pemain kerana ini malam yang menakjubkan. Mereka mempamerkan aksi yang sangat baik dan saya fikir kami mengawal semua aspek permainan. - Bernama
MUNOZ: Tahniah kepada pemain kerana ini malam yang menakjubkan. Mereka mempamerkan aksi yang sangat baik dan saya fikir kami mengawal semua aspek permainan. - Bernama

Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz memuji kematangan taktikal dan intensiti tinggi dipamerkan anak buahnya selepas menundukkan kelab Thailand, Port FC 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Munoz berkata beliau berbangga dengan persembahan konsisten Harimau Selatan sepanjang perlawanan, terutama keupayaan pemain mengawal tempo selain melaksanakan perancangan taktikal dengan baik.

“Tahniah kepada pemain kerana ini malam yang menakjubkan. Mereka mempamerkan aksi yang sangat baik dan saya fikir kami mengawal semua aspek permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit dicemari kecederaan penyerang utama Bergson Da Silva yang terpaksa dikeluarkan pada penghujung permainan.

Munoz berkata barisan kejurulatihan masih menunggu laporan rasmi pasukan perubatan mengenai tahap kecederaan pemain itu dan berharap ia tidak serius, mengambil kira JDT bakal mengharungi beberapa perlawanan penting selepas ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Port FC Bozidar Bandovic mengakui JDT tampil sebagai pasukan lebih baik dan layak meraih tiga mata.

Beliau berkata tuan rumah menguasai separuh masa pertama dengan mencipta ancaman menerusi hantaran lintang serta percubaan dari luar kotak penalti, manakala pasukannya cuba memberikan tentangan menerusi beberapa serangan balas.

“Kami bermula sedikit lebih baik pada separuh masa kedua, tetapi kemudian bolos menerusi hantaran lintang dan percubaan dari luar kotak penalti.

“Selepas gol kedua menerusi serangan transisi, keadaan menjadi semakin sukar dan kemudian hadir gol ketiga. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada lawan kerana mereka lebih baik di atas padang,” katanya.

Kemenangan itu memberikan suntikan semangat buat Harimau Selatan menjelang aksi di tempat lawan menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan pada 3 Nov ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement