Skip to main content

Dunia

Rusia nafikan kes wabak dikesan selepas kematian ahli sains

Pihak berkuasa Rusia hampir selesai menjalankan saringan terhadap individu yang mungkin mempunyai kontak dengan seorang penyelidik wabak yang meninggal dunia di Siberia. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Rusia hampir selesai menjalankan saringan terhadap individu yang mungkin mempunyai kontak dengan seorang penyelidik wabak yang meninggal dunia di Siberia. - Gambar hiasan

Advertisement

MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia hampir selesai menjalankan saringan terhadap individu yang mungkin mempunyai kontak dengan seorang penyelidik wabak yang meninggal dunia di Siberia, kata pegawai pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Rospotrebnadzor, agensi yang bertanggungjawab terhadap kawalan penyakit memaklumkan yang 90 peratus daripada individu yang berada di bawah pemantauan kini sudah menjalani ujian.

Tiada masalah kesihatan berkaitan penyakit berjangkit dikenal pasti, lapor agensi berita negara TASS yang memetik agensi berkenaan.

“Hasil daripada hampir 5,000 ujian makmal tidak menunjukkan kewujudan sebarang mikroorganisma patogen berbahaya,” katanya.

Tiada maklumat diberikan mengenai jumlah individu yang mungkin mempunyai kontak dengan ahli sains yang meninggal dunia itu yang menjalani ujian. Laporan media Rusia menganggarkan jumlahnya sehingga 200 orang.

Rospotrebnadzor mengulangi kenyataannya pada Ahad bahawa tiada kemalangan makmal berlaku di institut penyelidikan antipenyakit wabak di Irkutsk, kira-kira 4,200 kilometer di timur Moscow.

Menurut agensi itu, Rusia memaklumkan kejadian berkenaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut peraturan yang berkaitan.

Wanita berusia 28 tahun itu meninggal dunia pada Jumaat lepas. Punca rasmi kematian disenaraikan sebagai radang paru-paru yang tidak diketahui puncanya.

Pihak berkuasa masih belum memberikan maklumat lanjut. Bagaimanapun, mereka berkata, wanita berkenaan tidak dijangkiti patogen wabak yang dikendalikannya dalam kerja penyelidikan.

Kematian itu dan kebimbangan mengenai kemungkinan jangkitan wabak pneumonia bagaimanapun  menarik perhatian antarabangsa, dengan Amerika Syarikat (AS) dan WHO cuba mendapatkan maklumat lanjut.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata di Moscow bahawa orang ramai harus bergantung kepada maklumat rasmi daripada Rospotrebnadzor, sambil mendakwa bahawa kebanyakan laporan media mengenai kes di Irkutsk adalah tidak tepat.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement