JAKARTA: Kerajaan Rusia bersetuju membekalkan sehingga 150 juta tong minyak kepada Indonesia susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Moscow baru-baru ini, kata Utusan Khas bagi hal ehwal tenaga dan alam sekitar, Hashim Djojohadikusumo, pada Khamis (23 April).
Prabowo bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Kremlin minggu lalu dan kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh perkongsian strategik, termasuk dalam sektor tenaga, menurut Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya, dalam satu kenyataan.
Advertisement
Seperti banyak negara lain, Indonesia berdepan tekanan akibat kenaikan mendadak harga minyak global susulan perang di Asia Barat dan kini giat mencari pembekal alternatif.
Kira-kira 20 hingga 25 peratus import minyak mentah Indonesia datang dari Asia Barat dan melalui Selat Hormuz yang strategik.
“Indonesia kini telah memperoleh komitmen daripada kerajaan Rusia. Kita boleh menyimpan sehingga 150 juta tong minyak di Indonesia bagi menangani isu ketidaktentuan ekonomi,” kata Hashim, yang juga adik kepada Prabowo, seperti dipetik agensi berita negara, Antara.
Menurut beliau, Rusia bersetuju membekalkan 100 juta tong minyak kepada Indonesia pada harga istimewa, dengan tambahan 50 juta tong lagi sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang memberikan subsidi tinggi kepada bahan api, merupakan negara pengeluar minyak namun pada masa sama masih bergantung kepada import bersih.
Negara kepulauan itu menggunakan kira-kira 1.6 juta tong bahan api sehari, namun hanya menghasilkan sekitar 600,000 tong sehari, menurut Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia.
Kerajaan bulan lalu mengumumkan langkah catuan bahan api, selain mewajibkan dasar bekerja dari rumah sehari seminggu bagi penjawat awam untuk menjimatkan rizab tenaga.
Kerajaan juga berikrar tidak akan menaikkan harga bahan api bersubsidi sepanjang tahun ini. - Agensi