SHAH ALAM: Himpunan Tangkap Azam Baki yang dijadualkan diadakan pada Sabtu ini tetap diteruskan meskipun Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih sendiri pengganti jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata demikian sambil menegaskan himpunan itu bakal disertai rakan gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Advertisement
"Himpunan Tangkap Azam Baki (Tan Sri Azam Baki) pada Sabtu ini tetap diteruskan.
"Kita akan pastikan kontrak Azam tidak disambung untuk kali keempat pada 12 Mei ini," katanya menerusi hantaran di X pada Khamis.
Muhammad Faisal yang merupakan salah seorang sekretariat Tangkap Azam Baki menambah, kontroversi SPRM bukan membabitkan Azam semata-mata tetapi juga isu sistem dan struktur agensi penguatkuasaan itu.
“Kes pegangan saham, mafia korporat, ketelusan dalam siasatan termasuk kes kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini dan mendiang Teoh Beng Hock menjadi kewajaran untuk kerajaan mengumumkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Justeru, himpunan pada Sabtu ini akan menjadi medan untuk rakyat bangkit menentang kerosakan dalam SPRM hingga satu reformasi secara menyeluruh terhadap SPRM dilaksanakan,” ujar beliau.
Difahamkan, Himpunan Tangkap Azam Baki diadakan pada jam 3 petang Sabtu ini dengan berkumpul di pekarangan pusat beli-belah Sogo hingga ke Dataran Merdeka.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda akan memilih calon yang terbaik untuk menerajui SPRM.
Baginda turut mengingatkan bahawa tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara tersebut.
Titah baginda lagi, jawatan berkenaan amat penting bagi memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Kedudukan Azam menjadi tumpuan selepas kontraknya dijangka tamat pada 12 Mei ini.
Azam, 63, telah melalui beberapa siri lanjutan sejak tempoh asal perkhidmatannya berakhir pada 2023. - Sinar Harian