MOSCOW: Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata pada Ahad, Rusia tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pusingan baharu rundingan trilateral dengan Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine pada Oktober, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika bercakap dalam satu wawancara bersama syarikat penyiaran Rusia, VGTRK, Peskov berkata topik konflik Ukraine ada dibangkitkan semasa Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi.
“Ya, kami tidak menolak kemungkinan berkenaan. Kita bercakap secara khusus mengenai masa hadapan yang dapat dijangka. Jadi, Oktober. Oktober tidak boleh diketepikan,” katanya.
Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin telah memberi makluman ringkas kepada Perdana Menteri India Narendra Modi mengenai situasi terkini di lapangan di Ukraine semasa pertemuan mereka di luar Sidang Kemuncak BRICS.
“Ada yang lebih memahami situasi itu, ada yang kurang. Apabila Presiden bertemu dengan seseorang, beliau mengambil peluang untuk menjelaskan dan memberi pencerahan ringkas mengenai keadaan semasa,” katanya apabila ditanya sejauh mana pemimpin BRICS dimaklumkan mengenai situasi berhubung konflik Ukraine.
Peskov berkata Putin telah memberikan "kemas kini" kepada Modi mengenai situasi berkenaan.
Apabila ditanya sama ada kedua-dua pemimpin ada membincangkan pertemuan terkini Putin dengan utusan AS, Peskov berkata tiada masa yang mencukupi untuk memperincikan perkara itu.
“Memang tiada masa untuk menceritakan semula segalanya secara terperinci. Namun memandangkan tiada perkembangan baharu, beliau memaklumkan secara ringkas kepada Modi mengenai apa yang berlaku di lapangan,” katanya.
Peskov turut memberitahu bahawa Modi dan Presiden China Xi Jinping secara aktif menawarkan bantuan bagi memudah cara penyelesaian konflik Ukraine semasa pertemuan berasingan mereka dengan Putin di luar Sidang Kemuncak BRICS.
Menyentuh mengenai hasil Sidang Kemuncak BRICS di India, Peskov berkata blok berkenaan terus kukuh dan berkembang dengan meletakkan isu-isu serius serta substantif dalam agendanya.
“BRICS terus membina momentum. Anda boleh lihat jumlah negara yang menghadiri BRICS Campur. Anda boleh lihat keseriusan dan mendalamnya isu-isu yang dibangkitkan oleh negara-negara ini dalam konteks agenda BRICS,” katanya.
Peskov berkata isu-isu penting bagi Rusia, termasuk pusat penyelesaian bersama dan platform pelaburan, telah dimasukkan ke dalam deklarasi akhir Sidang Kemuncak BRICS.
“Deklarasi itu merangkumi perkara-perkara yang penting bagi kami. Ini termasuk pusat penyelesaian bersama, platform pelaburan bersama dan platform bersama bagi penyelesaian dalam mata wang kebangsaan,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU