Skip to main content

Sukan

Atlet renang sirip pulau pinang cipta kejayaan membanggakan pada kejohanan dunia

Lima atlet renang sirip Pulau Pinang meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan 14 gangsa pada kejohanan 2026 CMAS World Cup Finswimming Indoor di Zhanjiang, China baru-baru ini. Lew Jia Ming (empat, kiri) berjaya merangkul dua emas menerusi acara 100m dan 200m bifin, selain satu perak dalam acara 50m bifin. --fotoBERNAMA
Lima atlet renang sirip Pulau Pinang meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan 14 gangsa pada kejohanan 2026 CMAS World Cup Finswimming Indoor di Zhanjiang, China baru-baru ini. Lew Jia Ming (empat, kiri) berjaya merangkul dua emas menerusi acara 100m dan 200m bifin, selain satu perak dalam acara 50m bifin. --fotoBERNAMA
Advertisement

GEORGE TOWN: Lima atlet renang sirip Pulau Pinang melakar kejayaan membanggakan apabila membantu kontinjen negara meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan 14 gangsa pada kejohanan 2026 CMAS World Cup Finswimming Indoor di Zhanjiang, China, baru-baru ini.

Daripada keseluruhan 29 pingat itu, empat atlet Pulau Pinang menyumbang tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, sekali gus membantu Malaysia mengatasi pencapaian tahun lepas yang hanya mencatat dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Perenang berusia 16 tahun, Lew Jia Ming yang bertanding dalam kategori Lelaki Junior 1 berjaya merangkul dua emas menerusi acara 100 meter (m) dan 200m bifin, selain satu perak dalam acara 50m bifin.

Advertisement

Lebih membanggakan, kejayaan Lew dalam acara 100m bifin turut mencipta sejarah baharu sukan renang sirip negara apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas menewaskan pencabar tuan rumah, China.

Yang turut menyumbang pingat ialah Hong Yew Khai, 16, yang meraih satu emas dan dua gangsa, Koay Jin Ming, 17, (satu emas, satu perak) serta Marcus Kooi Yin Yong, 14, (satu emas, satu perak), dengan ketiga-tiganya membantu Malaysia meraih emas dalam acara 4x100m surface berganti-ganti.

Advertisement

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Sirip Malaysia (MFSA) Thor Al Wayne berkata pencapaian kontinjen negara di luar jangkaan memandangkan kebanyakan atlet masih muda dan barisan baharu berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata sebanyak 35 atlet mewakili Malaysia dalam kejohanan yang disertai 10 negara termasuk Korea Selatan, China, Vietnam dan Rusia itu.

“Sasaran kita hanya untuk menyamai pencapaian tahun lepas, iaitu dua pingat emas kerana perlu bersaing dengan negara hebat seperti Korea Selatan dan China.

“Jadi, keputusan kali ini memang sangat membanggakan dan di luar jangkaan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan atlet renang sirip Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini, malam tadi.

Hadir sama menyambut kepulangan atlet berkenaan ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai, ahli keluarga dan rakan-rakan atlet.

Sementara itu, Lew berkata kejayaan meraih dua pingat emas itu amat bermakna baginya kerana turut mencatat rekod peribadi terbaik meskipun persediaan latihan sedikit terjejas akibat komitmen peperiksaan.

Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Butterworth itu turut menghargai sokongan ibu bapanya serta bimbingan jurulatih Michael Lim, selain menyifatkan kejayaan itu sebagai batu loncatan untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa yang lebih berprestij.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement