DUNIA
Rusia, Ukraine buat pertukaran tawanan baharu di bawah Perjanjian Istanbul

Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa anggota tentera Rusia yang dipulangkan itu kini berada di wilayah Belarus. - Gambar fail/ AP
MOSCOW: Rusia pada Rabu mengumumkan bahawa satu lagi pusingan pertukaran tawanan perang antara Rusia dan Ukraine telah dilaksanakan mengikut perjanjian yang dicapai di Istanbul, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Rusia dan Ukraine melaksanakan satu lagi pusingan pertukaran tawanan perang pada 23 Julai 2025, melibatkan sekitar 250 individu dari setiap pihak, menjadikan jumlah keseluruhan pertukaran mencecah 1,200 orang.
- Anggota tentera Rusia yang dipulangkan kini berada di Belarus untuk menerima rawatan dan pemulihan, manakala tawanan perang Ukraine yang dibebaskan termasuk mereka yang telah ditahan selama tiga tahun.
- Pertukaran ini dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang dicapai di Istanbul pada 2 Jun, dengan kedua-dua pihak menyifatkan usaha tersebut sebagai langkah kemanusiaan penting dalam konflik berterusan.
Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa anggota tentera Rusia yang dipulangkan itu kini berada di wilayah Belarus, di mana mereka menerima bantuan psikologi dan perubatan yang diperlukan.
"Semua anggota tentera Rusia akan dihantar ke Rusia untuk menjalani rawatan dan pemulihan di kemudahan perubatan Kementerian Pertahanan Rusia," katanya.
Sebagai pertukaran, sekumpulan tawanan perang Ukraine telah dipulangkan ke Kyiv, menurut kementerian itu lagi.
Sementara itu, dalam sidang media di Istanbul selepas pusingan ketiga rundingan damai antara kedua-dua negara, ketua delegasi Rusia Vladimir Medinsky berkata kira-kira 250 orang dari setiap pihak telah diserahkan sebagai pertukaran.
"...Dengan itu, pertukaran berskala besar kedua yang belum pernah berlaku sebelum ini melibatkan sekitar 1,200 individu telah selesai," katanya.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengesahkan pertukaran berkenaan, sambil memaklumkan bahawa lebih 1,000 anggota tentera Ukraine telah dipulangkan hasil usaha kemanusiaan itu.
Menurut beliau, sebahagian daripada anggota tentera berada dalam tahanan Rusia selama tiga tahun. Beliau turut menyatakan bahawa anggota terbabit akan menerima rawatan perubatan serta pemulihan psikologi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami