Rusia mengumumkan pemberhentian operasi ketenteraannya di Syria berkuatkuasa pada Isnin.

Presiden negara itu Vladimir Putin mengumumkan perkara itu semasa membuat lawatan mengejut ke pangkalan udara Rusia di Hemeimeem Syria dan memerintahkan tenteranya untuk berundur dari negara terbabit.

"Saya dengan ini memberikan arahan bahawa kehadiran tentera Rusia di Syria berakhir, negara menanti anda pulang.

"Semoga perjalanan pulang anda semua selamat dan saya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan anda," jelasnya.

Turut berada di Pangkalan Udara Hemeimim adalah Presiden Syria Bashar al-Assad.

Lawatan mengejut Putin itu dibuat selepas pertemuannya dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi sebelum meneruskan perjalanan bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Ankara.

Moscow telah bersekutu dengan Damsyik sejak September 2015 selepas Bashar memohon bantuan kententeraan bagi menentang kumpulan pemberontak Syria.

Sejak itu, Rusia sering melakukan serangan udara terhadap kumpulan yang menentang kerajaan, termasuk Gabungan Kebangsaan Syria, militan daish, kumpulan al-Nusra Front, dan lain-lain.

Selain turut sama dalam pertempuran, Rusia turut terlibat dalam membekalkan senjata kepada tentera Syria.