KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Indonesia digesa menyiasat penggunaan gas pemedih mata di dalam stadium susulan kejadian rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur pada Sabtu malam.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid berkata gas pemedih mata tidak boleh dilepaskan dalam kawasan tertutup mengikut garis panduan stadium oleh  Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Gas pemedih mata hanya boleh digunakan untuk menyuraikan orang ramai apabila keganasan berleluasa berlaku dan apabila kaedah lain gagal. Orang ramai mesti diberi amaran bahawa gas pemedih mata akan digunakan dan dibenarkan untuk bersurai.

“Gas pemedih mata juga tidak boleh dilepaskan dalam ruang tertutup. Garis panduan keselamatan stadium FIFA juga melarang membawa atau menggunakan 'gas kawalan orang ramai' oleh penjaga padang atau polis," katanya dalam satu kenyataan di laman web Amnesty International, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Rusuhan perlawanan bola sepak Stadium Kanjuruhan: Angka korban dikhuatiri meningkat

BACA: Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Kematian bukan kerana pergaduhan antara penyokong

Dalam kejadian pada Sabtu malam, angka kematian dilaporkan hampir 150 orang termasuk dua anggota polis.

Insiden disifatkan sebagai salah satu bencana terburuk dalam arena bola sepak dunia selepas di Peru yang mengorbankan 300 individu dalam kejadian lebih 50 tahun lalu.

Difahamkan, kematian turut berpunca daripada tindakan pihak polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan situasi menjadi kelam-kabut.

Mengulas lanjut, Usman berkata pihak berkuasa perlu melakukan siasatan secara adil dan bebas terhadap perkara berkenaan.

Ujar beliau lagi, pihak yang didapati bersalah melanggar peraturan yang ditetapkan perlu dihadapkan ke muka pengadilan, dan tidak hanya menerima sekatan secara dalaman atau pentadbiran sahaja.

“Kami juga menyeru polis untuk mengkaji semula dasar mengenai penggunaan gas pemedih mata dan ‘senjata kurang maut’ lain bagi memastikan tragedi yang menyayat hati itu tidak berlaku lagi," tambah beliau.

Tegas Usman lagi, insiden kehilangan nyawa itu tidak boleh dibiarkan memandangkan polis sendiri menyatakan bahawa kematian berlaku "selepas polis menggunakan gas pemedih mata ke atas orang ramai dan rempuhan di pintu keluar stadium.”

Terdahulu, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Kompas TV, Setiausaha Agung Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Yunus Nusi turut ditanya mengenai penggunaan gas pemedih mata.

Katanya: "PSSI telah menyerahkan laporan kepada FIFA berhubung insiden berkenaan,".

Sementara itu, memetik laporan CNN Indonesia, Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta memaklumkan pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas penyokong pasukan Arema FC yang meluru ke padang dan membahayakan keselamatan.

"Akibat gas air mata itu, mereka pergi ke luar ke satu ruang, iaitu di pintu keluar. Kemudian terjadi pengumpulan, dan proses tersebut berlaku sesak nafas, kekurangan oksigen," katanya.