NEW DELHI: Nasionalisme keterlaluan dan politik identiti menjejaskan kewujudan bersama secara aman di kalangan rakyat dan negara, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada persidangan di New Delhi, Khamis.

Berucap pada sesi menteri "Dialog Delhi", menteri itu berkata diplomasi dan kesederhanaan diperlukan untuk menghindari konflik.

"Dialog ini sangat bertepatan dalam suasana hari ini dan penting kerana kita sedang membincangkan untuk menjalin persahabatan ketika identiti dan politik nasionalistik mengancam untuk mengetepikan nilai kesederhanaan dan toleransi," kata Saifuddin.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan dalam ekstremisme agama dan nasionalisme keterlaluan, yang mengetepikan demokrasi dan merencatkan globalisasi.

Menurut Saifuddin, ia meningkatkan cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional seperti keganasan, penghijrahan paksa, dan pertikaian wilayah.

Bagi perkumpulan 10 anggota negara Asia Tenggara, ASEAN, antara cabarannya adalah konflik di Myanmar, katanya.

Menteri Luar Malaysia pada pagi Khamis menyertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM), yang menandakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog antara kedua-dua pihak.

Saifuddin menyifatkan pertemuan itu sebagai "sangat berhasil", berkata ASEAN dan India sepakat untuk "mengukuhkan dan meluaskan perkongsian strategik kami".

Beliau berkata kedua-dua pihak boleh memanfaatkan dua kekuatan utama mereka - penduduk dan teknologi - dalam mengembangkan hubungan mereka.

-- BERNAMA