DUNIA
'Saya hanya enam meter dari letupan'- Peserta misi kapal Flotilla ke Gaza

Kapal utama misi Flotilla diserang dron Israel di perairan Tunisia awal pagi Selasa. Gambar kecil: Yusof Omar. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: “Saya hanya enam meter dari letupan, bola api besar tiba-tiba muncul dan panasnya terasa membakar wajah. Saya benar-benar menggigil.”
Demikian perkongsian aktivis kemanusiaan dari Brazil, Thiago Ávila yang berada di atas Family Boat, kapal utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) ketika ia diserang dron di perairan Tunisia awal pagi Selasa.
Thiago berkata, dia sedang tidur di bahagian atas kapal sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat yang disusuli api marak di bahagian hadapan.
“Mujur pasukan kami sangat terlatih dan kekal tenang. Mereka segera mencapai alat pemadam api, berjaya mengawal kebakaran dan kami semua memakai jaket keselamatan selepas itu,” katanya.Peserta misi, Yusof Omar pula menceritakan bagaimana enam kru yang sedang bertugas malam melihat sebuah dron menghampiri sebelum menjatuhkan bahan letupan di bahagian haluan kanan kapal yang ketika itu berada berhampiran 150 meter dari pantai Tunisia.
“Letupan itu menyebabkan kebakaran, namun kru kami berusaha memadam api dan berjaya mengawalnya dalam kira-kira empat hingga lima minit sebelum membunyikan penggera.
“Ini bukan kali pertama misi Flotilla menuju ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan diserang. Ancaman dahsyat ini mesti dihentikan kerana ia membahayakan seluruh dunia,” katanya di Instagram.
Insiden itu nyata meninggalkan kesan mendalam kepada kru dan peserta misi namun mereka tetap menegaskan tekad untuk meneruskan perjalanan ke Gaza membawa misi kemanusiaan. - Sinar Harian

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami