Memiliki badan yang langsing dan ramping mungkin menjadi idaman kebanyakan kaum hawa di dunia namun tidak buat Amelia-Jane Harris.

Amelia yang berusia 20 tahun meluahkan perasaannya yang mahu bertubuh gempal semula selepas turun 114 kilogram dalam tempoh 20 bulan.

Tatkala menjalani zaman kanak-kanak, Amelia pernah mengimpikan tubuh badan yang kurus lantaran sering menjadi bahan ejekan kerana berbadan gemuk.

Namun apabila didiagnos menghidap penyakit Crohn, gadis yang berasal dari Birmingham, England ini tidak lagi dapat menikmati makanan seperti normal malah sentiasa berada dalam keadaan kesakitan.

Perubahan ketara berlaku selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-17. Berat badan Amelia adalah 176 kilogram pada mulanya menurun kepada 62 kilogram dalam tempoh 20 bulan.

Kini selepas tiga tahun menghidapi penyakit Crohn, berat badannya masih menurun dan kini mencecah 50 kilogram.

Lebih menyedihkan, Amelia sentiasa keletihan, kekurangan zat makanan dan mengalami kekejangan perut yang teruk.

“Walaupun kini dalam saiz 6 yang pernah menjadi idaman, saya sanggup buat apa sahaja untuk jadi gemuk seperti dahulu,” luah Amelia.

Penyakit Crohn adalah kondisi kesihatan jangka panjang yang menyebabkan keradangan pada lapisan sistem pencernaan.

Bagi menahan keradangan dan kesakitan, Amelia harus mengambil 70 pil setiap hari namun jumlah itu boleh bertambah menghampiri 100 pil bergantung pada kadar kesakitan.

“Ramai yang mengucapkan tahniah dan mengatakan saya nampak menarik selepas berjaya menurunkan berat badan. Hakikatnya saya berasa sangat perit,” ujarnya.

Menurut laman kesihatan NHS Choices, masih tiada penawar untuk penyakit Crohn dan penghidap kebiasannya terpaksa menanggung sepanjang hayat.