Ringkasan AI
- Kapten Smit Machchhar ditikam pembantu juruterbang dalam penerbangan flydubai FZ1073 dari Dubai ke Tel Aviv pada Rabu lalu.
- Pesawat membawa 174 penumpang dan anak kapal menjunam hampir 14,000 kaki sebelum cubaan merempuh pesawat berjaya digagalkan.
- Kapten Machchhar berjaya membuka pintu kokpit, membolehkan krew menumpaskan penyerang dan pesawat melakukan pendaratan cemas di Tabuk, Arab Saudi.
ABU DHABI: "Saya tak boleh biar sesiapa mati".
Berikut kata-kata azimat yang terngiang-ngiang dalam fikiran Kapten Smit Machchhar tatkala beliau berlumuran darah dan bergelut membuka pintu kokpit selepas ditikam oleh pembantu juruterbangnya sendiri dalam penerbangan flydubai dari Dubai ke Tel Aviv pada Rabu lalu.
Insiden dramatik membabitkan penerbangan FZ1073 itu menyaksikan pesawat komersial yang membawa 174 penumpang dan anak kapal berkenaan menjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat sebelum cubaan merempuh pesawat berjaya digagalkan.
Menceritakan detik cemas berkenaan secara langsung menerusi panggilan video bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Jumaat, Machchhar yang kini dirawat di sebuah hospital di Abu Dhabi berkata naluri penerbangannya selama 17 tahun membisikkan bahawa pesawat sedang menuju kemusnahan jika beliau tidak bertindak pantas.
Walaupun mengalami kecederaan parah di lantai kokpit, beliau mengerahkan saki-baki kudratnya untuk merangkak dan membuka kunci pintu bagi membolehkan krew serta penumpang meluru masuk menumpaskan penyerang.
Pembukaan pintu itu membolehkan pasangan juruterbang kedua yang berada di dalam penerbangan segera mengambil alih kemudi lalu melakukan pendaratan cemas dengan selamat di Tabuk, Arab Saudi.
Modi dalam perbualan tersebut memuji ketenangan luar biasa dan keberanian pantas Machchhar yang disifatkan bukan sahaja menyelamatkan ratusan nyawa, malah menjulang maruah 1.4 bilion rakyat India di persada antarabangsa.
"Semalam, doa dan mantera dipanjatkan di semua kuil serta tempat suci, mendoakan agar anda dipanjangkan usia, dan kami semua mendoakan kesihatan anda. Anda pasti akan kembali sihat tidak lama lagi dan India tidak sabar untuk menyambut kepulangan anda," kata Modi kepada kapten berkenaan.
Menurut Modi lagi, tindakan berani itu membuktikan warga India berperanan sebagai penyelamat nyawa masyarakat dunia.
Machchhar yang masih berbalut di bahagian kepala dan tangan menzahirkan rasa yakin untuk pulih sepenuhnya daripada trauma serta kecederaan fizikal yang dialaminya.
"Saya tidak menganggap kecederaan ini seperti luka biasa kerana pemikiran begitu akan membantutkan proses pemulihan saya.
"Saya melihat kecederaan ini sebagai satu perjalanan yang akan beransur pulih dan mengambil masa, namun saya amat yakin proses penyembuhan ini akan berlaku dan saya akan kembali sihat sepenuhnya," jelas Machchhar.