ISTANBUL: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Sabtu berkata sebahagian besar individu yang memasuki enklaf Sepanyol di Afrika Utara, Ceuta, secara haram telah kembali ke Maghribi hasil usaha bersama pihak berkuasa penguat kuasa Sepanyol dan Maghribi, lapor Anadolu Ajansi.
"Berita baiknya ialah sebahagian besar mereka yang tiba secara haram telah kembali ke Maghribi hasil tindakan berkesan pihak berkuasa penguat kuasa Sepanyol dan Maghribi. Tiada seorang pun berjaya memasuki tanah besar Sepanyol atau wilayah lain di Kesatuan Eropah (EU)," kata von der Leyen menerusi platform media sosial X.
Von der Leyen berkata beliau mengadakan sidang video dengan Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi Eropah Magnus Brunner serta Pesuruhjaya Eropah bagi Mediterranean dan Demografi Dubravka Suica untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi di Ceuta.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya kawalan di sempadan Eropah.
"Keadaan ini menunjukkan mengapa kawalan sempadan Eropah amat penting. Kita mempunyai sistem yang kukuh, namun ia perlu diperkasakan lagi," katanya.
Presiden Suruhanjaya Eropah itu berkata pihak berkuasa EU perlu terus berwaspada di pintu masuk utama dan mengekalkan penyelarasan rapat antara semua pihak berkuasa berkaitan.
"Pada masa sama, kita perlu menjalankan proses penilaian bagi meningkatkan daya tahan Eropah," tambahnya.
Von der Leyen berkata Suruhanjaya Eropah telah menawarkan bantuan kepada Sepanyol sejak awal lagi.
"Saya menerima surat daripada beberapa pemimpin dan mengalu-alukan gesaan supaya sidang video luar biasa diadakan bagi menilai apa yang telah berlaku," katanya.
"Usaha menangani pendatang tanpa izin memerlukan solidariti dan tindak balas Eropah yang bersatu," tambah beliau.
Terdahulu, beberapa pemimpin Eropah menggesa mesyuarat tergempar menteri dalam negeri EU diadakan bagi membincangkan situasi migrasi di Ceuta, sambil menyeru tindak balas yang diselaraskan untuk menghalang lebih banyak pencerobohan sempadan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, sekurang-kurangnya 67 orang maut ketika cuba memasuki Sepanyol sepanjang krisis itu, manakala hampir 70,000 pendatang yang memasuki Ceuta dari Maghribi telah kembali ke negara berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU