CANBERRA: Penurunan imuniti menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di Australia Selatan (SA), kata ketua kesihatan negeri itu.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan SA pada Jumaat, terdapat 1,691 kes baharu COVID-19 dan empat kematian dilaporkan di seluruh negeri itu dalam tempoh pelaporan tujuh hari yang berakhir pada Selasa, lapor Xinhua.

Jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 55 peratus berbanding 1,089 kes dalam tempoh tujuh hari sebelum ini yang juga angka mingguan tertinggi sejak Jun.

Ketua Pegawai Kesihatan Awam SA, Nicola Spurrier berkata peningkatan kes itu jelas adalah permulaan "gelombang baharu" jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menafikan peningkatan itu ada kaitan dengan varian BA.2.86 - atau Pirola - yang kali pertama dikesan di Australia pada September.

Spurrier turut meramalkan SA akan mengalami satu lagi lonjakan kes COVID-19 dalam enam bulan lagi.

Angka terkini yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di SA sejak permulaan wabak itu kepada 939,051 kes manakala jumlah kematian kepada 1,624 orang.

-- BERNAMA