BANGKOK: Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan di wilayah selatan Satun bertukar tragedi selepas sebuah jambatan kecemasan runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak cedera pada Sabtu.

Jambatan itu ditempatkan di pejabat pentadbiran daerah Khuan Don untuk aktiviti hiburan bagi kanak-kanak sempena sambutan berkenaan.

Insiden berlaku sekitar 11.45 pagi waktu tempatan.

Tali anduh besi yang menyokong jambatan itu terputus secara tiba-tiba menyebabkan kira-kira 35 kanak-kanak terjatuh pada ketinggian dua hingga tiga meter.

Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Susulan insiden itu Perdana Menteri Srettha Thavisin mahu pemeriksaan rapi dan penyelenggaran berkala terhadap peralatan permainan.

"Penganjur perlu mengutamakan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan menyeluruh sebelum peralatan digunakan dan menyelenggara secara berkala," katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA