MADRID: Sekurang-kurangnya tiga individu maut dalam insiden berkaitan gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang melumpuhkan Sepanyol pada hari Isnin, menurut laporan pihak berkuasa.

Mangsa yang terkorban terdiri dari satu keluarga di Taboadela, barat laut Sepanyol, iaitu pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka.

Polis sedang menyiasat kemungkinan keracunan karbon monoksida akibat penggunaan generator elektrik yang rosak sebagai punca kematian.

Selain itu, seorang wanita di Madrid turut meninggal dunia dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada lilin yang digunakan semasa gangguan bekalan elektrik.

Kebakaran itu berlaku di daerah Carabanchel, menyebabkan 13 orang mengalami sesak nafas, lima daripadanya dimasukkan ke hospital.

Di Valencia, seorang wanita berusia 40-an dilaporkan meninggal dunia selepas alat bantuan pernafasannya terhenti akibat gangguan bekalan elektrik.

Walaupun polis tempatan mengesyaki gangguan kuasa sebagai punca kematian, pihak kesihatan serantau menyatakan bahawa wanita itu mempunyai beberapa masalah kesihatan dan meninggal dunia atas faktor semula jadi.

Gangguan bekalan elektrik ini telah menyebabkan keadaan huru-hara  di seluruh Sepanyol dan Portugal, dengan lampu isyarat tidak berfungsi, sistem metro terhenti, dan perniagaan tidak dapat menerima pembayaran kad.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar gangguan ini yang turut menjejaskan Andorra dan sebahagian Perancis.