SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di lima negeri sehingga jam 12:00 tengah hari pada Isnin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, cuaca buruk tersebut melibatkan beberapa daerah di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.
Di Selangor, kawasan yang dikenal pasti terjejas adalah Kuala Langat dan Sepang, manakala di Negeri Sembilan pula melibatkan daerah Port Dickson.
Seluruh negeri Melaka turut diletakkan di bawah amaran yang sama.
Bagi negeri Johor, amaran tertumpu di kawasan Tangkak, Muar dan Batu Pahat.
Sementara itu di Sarawak, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir termasuk Sri Aman (Sri Aman), Sibu (Selangau) serta Mukah (Dalat dan Mukah).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam," kata kenyataan itu di laman Facebook MetMalaysia pada Isnin.
MetMalaysia turut menjelaskan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan merujuk laman web rasmi atau media sosial MetMalaysia untuk maklumat terkini dan sahih. - Sinar Harian