Skip to main content

Teknologi

Samsung henti jual TV, perkakas rumah di China

The logo of Samsung Electronics is seen at the company's store in Seoul, South Korea, April 15, 2025. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata, pihaknya sedang mengambil langkah untuk meminimumkan kesan terhadap pelanggan selain mengkaji bentuk sokongan sewajarnya bagi rakan perniagaan yang terjejas. -Foto fail/Reuters

SAMSUNG Electronics secara rasmi menghentikan jualan beberapa produk elektronik termasuk televisyen (TV) dan perkakas rumah di pasaran China, berkuat kuasa baru-baru ini.

Langkah itu membabitkan pelbagai rangkaian produk termasuk monitor, penyaman udara, peti sejuk, mesin basuh, sistem audio, projektor serta pembersih vakum, susulan persaingan sengit daripada syarikat tempatan China serta tekanan kos akibat tarif perdagangan, lapor Amanz.

Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata, pihaknya sedang mengambil langkah untuk meminimumkan kesan terhadap pelanggan selain mengkaji bentuk sokongan sewajarnya bagi rakan perniagaan yang terjejas.

Keputusan tersebut dibuat selepas perniagaan TV dan perkakas rumah syarikat itu mencatatkan kerugian berterusan, selain ketidaktentuan pasaran yang dipengaruhi oleh dasar tarif perdagangan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Walaupun kekal sebagai pengeluar TV terbesar dunia tahun lalu, kedudukan Samsung kini dicabar hebat oleh jenama tempatan seperti TCL yang turut menjalin kerjasama dengan Sony bagi pengeluaran TV generasi baharu.

Bagaimanapun, Samsung akan terus menjual telefon pintar di China walaupun berdepan persaingan sengit dalam segmen peranti mudah alih.

Prestasi perniagaan pengguna syarikat itu dilaporkan berbeza dengan sektor semikonduktor yang mencatatkan lonjakan keuntungan lebih tujuh kali ganda, didorong permintaan tinggi terhadap komponen memori di peringkat global.

Must Watch Video