Ringkasan AI
- 7 maut, lebih 100 cedera selepas dua tren bertembung berhampiran Giza, Mesir.
- Presiden Abdel Fattah al-Sisi arah siasatan dan tindakan terhadap pihak yang cuai.
- Nahas berlaku apabila sebuah tren merempuh tren yang berhenti di landasan, menyebabkan beberapa gerabak terbalik.
KAHERAH: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala lebih 100 lagi cedera selepas dua tren bertembung berhampiran bandar Giza, Mesir, pada Ahad, lapor BBC.
Menurut Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir, kemalangan itu melibatkan dua tren yang sedang menuju ke arah selatan dari Giza dan Kaherah.
Perlanggaran berkenaan menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dan terjatuh ke kawasan cerun berhampiran landasan.
Rakaman dan imej dari lokasi kejadian menunjukkan pasukan penyelamat serta orang awam berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam gerabak yang terbalik ketika operasi kecemasan berskala besar dijalankan.
Menurut BBC, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengarahkan pihak berkuasa menyiasat punca kemalangan itu serta memastikan mana-mana individu yang didapati cuai dipertanggungjawabkan.
Pejabat pendakwa raya negara itu turut memberi amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat berikutan keadaan beberapa mangsa yang masih kritikal.
Kerajaan Mesir pula memaklumkan hospital di kawasan berhampiran diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemasukan mangsa yang ramai.
Menteri Kesihatan Mesir, Dr Khaled Abdel Ghaffar, berkata kebanyakan mangsa yang cedera mengalami patah tulang dan kecederaan kepala, manakala rawatan kecemasan sedang diberikan.
Sementara itu, Bulan Sabit Merah Mesir menyediakan bantuan kemanusiaan dan sokongan psikologi kepada mangsa serta keluarga mereka di lokasi kejadian.
Kementerian Kesihatan Mesir mengesahkan seorang pemandu tren turut terkorban dalam nahas berkenaan.
Menurut laporan BBC, siasatan awal mendapati tren yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren menuju ke Aswan dari Kaherah yang ketika itu berhenti di landasan.
Beberapa imej dari lokasi menunjukkan sebahagian gerabak mengalami kerosakan teruk dan terbalik akibat impak perlanggaran tersebut.
Perkhidmatan tren antara Giza dan wilayah Mesir Hulu digantung sementara bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan gerabak yang rosak dijalankan menggunakan kren khas. Namun, pihak berkuasa belum mengumumkan tempoh sebenar gangguan itu.
Nahas tersebut berlaku di antara stesen Kafr Ammar dan Al-Raqqa di kawasan Al-Ayyat, lokasi yang pernah menyaksikan tragedi kereta api paling buruk dalam sejarah Mesir pada Februari 2002 apabila kebakaran melanda sebuah tren penumpang dari Kaherah ke Luxor dan mengorbankan lebih 370 orang, menurut BBC.
Susulan tragedi terbaharu itu, beberapa pihak di Mesir menggesa Menteri Pengangkutan meletakkan jawatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat.
Kementerian Luar Arab Saudi menyatakan solidariti bersama Mesir dan mendoakan kesembuhan segera kepada mangsa yang cedera.
Duta Turkiye ke Mesir pula menerusi platform X menyampaikan ucapan takziah serta simpati kepada mangsa, keluarga mereka dan rakyat Mesir.