Skip to main content

Sukan

Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia tewas 0-2 kepada Palestin

Keputusan itu menyaksikan Palestin mengutip tiga mata untuk berkongsi mata dengan Singapura. - Foto Facebook/NT
Keputusan itu menyaksikan Palestin mengutip tiga mata untuk berkongsi mata dengan Singapura. - Foto Facebook/NT
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027 dengan langkah positif tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Palestin dalam aksi Kumpulan E malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Malaysia dikejutkan dengan jaringan Yazan Khalifah pada minit ke-17 yang memanfaatkan sepakan percuma rakan sepasukan.

Skuad negara kendalian Muhammad Shukor Adan cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menemui sasaran hingga tamat babak pertama.

Advertisement

Bersambung babak kedua, Palestin terus menghukum kelemahan benteng pertahanan negara apabila Yousef Bustami menggandakan kelebihan pada minit ke-52 untuk meletakkan pasukan kendalian Mohammad Yousef Mohammad Sharbaji selesa di hadapan.

Malaysia berpeluang merapatkan kedudukan pada penghujung perlawanan selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakan Ahmad Aidil Mukhridz Ahmad Ridzalman berjaya ditepis penjaga gol Palestin.

Advertisement

Mohamad Fazryel Ashraf Zefri kemudian menyangka berjaya meraih gol menerusi percubaan susulan, namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan itu menyaksikan Palestin mengutip tiga mata untuk berkongsi mata dengan Singapura yang turut mencatat kemenangan ke atas Guam dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement