GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mempergiat rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko banjir kilat di seluruh negeri itu susulan ramalan hujan dan ribut petir sehingga Selasa ini.
Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah berkata langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan anggota berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
"Berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang bermula Ahad hingga 10 Nov dengan corak cuaca bagi tempoh tiga hari tersebut menunjukkan trend hujan yang agak kerap terutamanya pada sebelah petang dan malam," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Beliau berkata, ramalan untuk Isnin, keadaan cuaca dijangka lebih lembap dengan hujan di kebanyakan tempat pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku secara menyeluruh di negeri itu pada waktu petang, berlanjutan dengan hujan di kebanyakan tempat pada waktu malam.
Mohamad Shoki berkata pada Selasa pula, hujan diramal berlaku di beberapa kawasan pantai pada waktu pagi manakala menjelang petang dan malam, cuaca dijangka sedikit reda namun ribut petir dan hujan masih diramal berlaku di beberapa tempat.
Beliau berkata meskipun cuaca dijangka lembap, pihak MetMalaysia memaklumkan tiada amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan untuk Pulau Pinang setakat ini.
"Susulan daripada ramalan itu, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir kilat diseru supaya mengelakkan daripada melalui laluan berisiko semasa ribut petir melanda, orang ramai yang memerlukan sebarang bantuan kecemasan atau pemindahan diminta untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
Beliau berkata pihak JBPM Pulau Pinang kini berada dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang MTL bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda awam terjamin.
Sementara itu, Mohamad Shoki berkata pemantauan dijalankan melibatkan tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di bahagian pulau dan Seberang Perai termasuk kawasan penempatan rendah serta lembangan sungai utama bermula malam tadi dengan menparas air sungai dan pergerakan arus di semua lokasi yang ditinjau masih berada pada tahap terkawal.
Beliau berkata antara lokasi yang dipantau di Seberang Perai ialah Sungai Jawi, Sungai Duri, Sungai Junjong, Sungai Kechil serta kawasan Kampung Sethu, Kampung Sepulau, Kampung Sanglang dan Kampung Valdor.
"Pemantauan turut dilakukan di Lahar Yooi, Labuh Banting, Ayer Itam, Jalan Permatang Rawa, Jalan Betik dan Jalan Soo Ban Kheang di Bukit Mertajam manakala di bahagian pulau, rondaan tertumpu di sekitar Teluk Kumbar dan Balik Pulau serta beberapa lokasi titik panas lain di bawah seliaan BBP Lebuh Pantai," katanya.
Mohamad Shoki berkata rondaan akan dilakukan secara berterusan bagi membolehkan pihak bomba memberikan amaran awal kepada penduduk sekiranya berlaku perubahan mendadak paras air.
-- BERNAMA