Kerja-kerja membawa keluar bangkai pesawat Penerbangan Malaysia MH17 daripada kawasan nahas di timur Ukraine, bermula pada Ahad, empat bulan selepas pesawat itu terhempas di situ.

Seorang wartawan AFP melaporkan melihat petugas dari Kementerian Kecemasan Republik Rakyat Donetsk, memotong bahagian-bahagian bangkai pesawat itu dengan gergaji di kawasan perkampungan sekitar Grabove.

Kumpulan dari Belanda yang mengetuai pasukan penyiasatan itu mengesahkan mereka akan memantau proses itu yang dikatakan akan mengambil masa beberapa hari.

f
Kelihatan sekumpulan wartawan sedang berjalan di kawasan nahas MH17- Sumber AFP/Menahem Kahana

"Hari ini kerja-kerja mengeluarkan bangkai pesawat itu telah bermula. Lembaga Keselamatan Belanda telah memulakan proses itu serta proses mengalihkan bangkai tersebut sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan punca nahas penerbangan MH17," kata pakar-pakar Belanda itu di dalam satu kenyataan.

Pasukan penyiasatan itu berkata bangkai itu akan dikumpulkan berhampiran dengan lokasi kemalangan sebelum dialihkan ke bandar Kharkiv dan kemudian diterbangkan ke Belanda.

Ukraine dan pihak Barat telah menuduh Rusia sebagai pihak yang membekalkan pemberontak pro-Moscow dengan peluru berpandu untuk menembak MH17.

Setakat ini, pasukan siasatan itu telah berjaya untuk mengumpul dan mengenal pasti mayat 289 mangsa daripada tragedi itu tetapi operasi mengeluarkan bangkai pesawat telah terganggu oleh pertempuran sengit di kawasan itu, di antara tentera kerajaan dan pemberontak.

Pesawat MH17 Boeing 777-220 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas setelah dipercayai ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.