Skip to main content

Dunia

Sembilan aktivis Myanmar dipenjara hingga 37 tahun kerana bantah pilihan raya

Generic Penjara
Kumpulan aktivis terbabit tidak bercadang mengemukakan rayuan kerana tidak yakin keputusan mahkamah akan diubah. - Gambar hiasan
Advertisement

YANGON: Mahkamah di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara sehingga 37 tahun terhadap sembilan aktivis yang terlibat dalam protes menggesa rakyat memboikot pilihan raya yang diadakan pada Disember tahun lalu.

Menurut Jawatankuasa Penyelarasan Pasukan Anti-Junta Mandalay, lapan aktivis termasuk tokoh muda terkenal, Htet Myat Aung, dijatuhi hukuman penjara 37 tahun oleh dua mahkamah di Mandalay pada Selasa.

Kesemua mereka didapati bersalah mengikut undang-undang pilihan raya dan undang-undang antikeganasan negara itu.

Seorang lagi aktivis menerima hukuman penjara 27 tahun selepas disabitkan kesalahan di bawah undang-undang antikeganasan.

Mereka ditahan pada 4 Disember lalu, sehari selepas mengadakan demonstrasi kilat di pusat bandar Mandalay yang menggesa orang ramai memboikot pilihan raya serta menolak pelaksanaan khidmat ketenteraan wajib.

Para aktivis turut menuntut pembebasan tahanan politik yang ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2021.

Jurucakap jawatankuasa berkenaan, May Hnin, mendakwa hukuman berat itu bertujuan menakutkan rakyat dan mengukuhkan cengkaman kuasa pemerintah tentera.

"Hukuman ini membuktikan kerajaan yang lahir daripada pilihan raya yang tidak sah tidak akan mampu membentuk sistem demokrasi persekutuan yang sebenar," katanya.

Menurut beliau, kumpulan aktivis terbabit tidak bercadang mengemukakan rayuan kerana tidak yakin keputusan mahkamah akan diubah.

Kerajaan yang disokong tentera setakat ini belum mengulas mengenai hukuman berkenaan.

Pada Julai 2025, Myanmar meluluskan undang-undang yang melarang sebarang ucapan, penganjuran, hasutan, protes atau pengedaran risalah yang dianggap boleh menjejaskan proses pilihan raya. Kesalahan di bawah undang-undang itu boleh membawa hukuman sehingga hukuman mati.

Lebih 200 individu didakwa mengikut undang-undang tersebut sebelum pilihan raya Disember lalu yang menyaksikan Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) yang disokong tentera memperoleh majoriti.

Bagaimanapun, pihak pembangkang dan pemerhati bebas menyifatkan pilihan raya itu tidak bebas serta tidak adil kerana tidak disertai parti-parti pembangkang utama.
 

 

Must Watch Video

Advertisement