PORT DICKSON: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung kesalahan sogokan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tiga kertas siasatan tersebut dibuka mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selepas menerima 18 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya.
Menurutnya, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ini kerana menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya melalui media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak 18 laporan polis telah diterima dan empat kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka.
“Secara kumulatif sepanjang tempoh 18 Julai hingga 29 Julai, PDRM Negeri Sembilan telah menerima 80 laporan polis dan membuka 23 kertas siasatan berkaitan pilihan raya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Alzafny berkata, polis menerima 80 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik dan kesemuanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Secara kumulatif bagi tempoh 18 Julai hingga 29 Julai, sebanyak 715 permohonan permit diterima, dengan 689 daripadanya diluluskan.
"Kesemua program dan aktiviti politik yang berlangsung akan terus dipantau oleh PDRM bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu berkata, secara keseluruhannya situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan berada pada tahap baik dan terkawal.
Namun PDRM Negeri Sembilan ujarnya, akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang pilihan raya berlangsung.
Tambahnya, sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.