KETIKA perhatian dunia tertumpu kepada ketegangan di Selat Hormuz, nelayan pantai di Malaysia berdepan persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian mereka, berapa kos diperlukan untuk terus turun ke laut.
Bagi Pak Duan, seorang nelayan di Port Dickson, perubahan dalam kos operasi dan hasil tangkapan memberi kesan langsung kepada pendapatan keluarganya.
"Kalau dia dapat sebelum ni, pendapatan dia satu hari RM1,200, dia akan tinggal lah RM700," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Jeti Nelayan Pengkalan Balak, dekat sini baru-baru ini.
Sebagai ketua keluarga yang masih menanggung tiga orang anak termasuk seorang yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, setiap perjalanan ke laut kini memerlukan pertimbangan yang lebih teliti.
"Saya menanggung keluarga yang bersekolah. Sekarang ini tiga... satu di universiti, dua di peringkat sekolah," katanya.
Kesan jauh, tekanan dekat
Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melaluinya setiap hari.
Sebarang ketidaktentuan di rantau itu lazimnya mencetuskan kebimbangan terhadap harga minyak dunia dan kos tenaga global.
Bagi sektor perikanan, bahan api merupakan salah satu kos operasi terbesar yang perlu ditanggung nelayan setiap kali turun ke laut.
Keadaan itu menjadikan komuniti nelayan antara kumpulan yang paling mudah terdedah kepada turun naik kos operasi apabila harga tenaga global meningkat.
Bantuan kerajaan sebagai benteng pertama
Bagi mengurangkan beban nelayan, kerajaan mengekalkan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang menawarkan bahan api bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter kepada nelayan yang layak.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan elaun sara hidup dan beberapa bentuk insentif lain untuk membantu mengurangkan tekanan kos operasi.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, sebelum ini menjelaskan, subsidi tersebut bertujuan membantu menampung sebahagian kos operasi nelayan dan bukannya keseluruhan kos mereka.
Nelayan yang menggunakan bahan api melebihi kuota ditetapkan perlu menanggung sendiri lebihan kos berkenaan.
LKIM turut memaklumkan, kerajaan mengekalkan peruntukan sekitar 70 juta liter diesel bersubsidi setiap bulan untuk nelayan di seluruh negara, khususnya bagi nelayan Zon A, B dan C.
Persoalannya, adakah ia mencukupi?
Bagi nelayan veteran Awaluddin Maarof, 78, subsidi yang disediakan membantu mengurangkan sebahagian beban operasi.
Namun, beliau berkata, keperluan sebenar di laut bergantung kepada kekerapan turun menangkap ikan, kapasiti enjin dan keadaan semasa.
"Jadi sebulan dibenarkan dua ratus liter sahaja. Kalau kita lebih turun daripada sepuluh kali, itu pakai duit sendirilah," katanya.
Pandangan tersebut selari dengan rungutan sebahagian nelayan yang berpendapat kos sebenar operasi sering melebihi bantuan yang diterima, khususnya apabila cuaca tidak menentu atau hasil tangkapan berkurangan.
Bagi Redzuan Tasrif, 56, yang dikenali sebagai Pak Duan pula, cabaran sebenar bukan sekadar harga minyak.
"Kadang-kadang ke laut, pergi kosong, balik kosong. Minyak dah belanja. Tak ada hasil."
Mencari keseimbangan antara bantuan dan kelangsungan
Kerajaan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar MADANI berusaha mengekang ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pada masa sama, nelayan yang berdaftar masih menikmati skim subsidi bahan api khusus yang tidak terjejas oleh pelaksanaan subsidi bersasar untuk pengguna biasa.
Namun persoalan lebih besar masih kekal.
Sejauh mana sistem bantuan sedia ada mampu melindungi komuniti nelayan kecil sekiranya ketidaktentuan geopolitik global terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga?
Bagi Awaluddin, yang sudah mengenali laut sejak usia enam tahun, kehidupan sebagai nelayan bukan sekadar pekerjaan.
"Daripada situ lah pakcik... dah tak boleh lupakan laut."
Ketika dunia memberi tumpuan kepada konflik di Timur Tengah, nelayan seperti Pak Din dan Pak Duan hanya berharap mereka masih mampu melakukan perkara yang sama esok pagi, turun ke laut dan membawa pulang rezeki untuk keluarga.
- Firdaus Azil merupakan wartawan kanan di Astro AWANI yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi. Beliau aktif melaporkan isu-isu semasa, politik, dan hal ehwal serantau.
- Semua hantaran dan pandangan di akaun ini adalah milik peribadi penulislah sepenuhnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mahupun mewakili Astro AWANI.