Skip to main content

Dunia

Semeru meletus tiga kali, abu cecah 1,000 meter

[TB]_Gunung Semeru Jawa Timur meletus tiga kali_SINAR
Menurut PVMBG, abu tertinggi direkodkan ketika letusan pada 6.28 pagi waktu tempatan, mencecah kira-kira 4,676 meter dari aras laut. - Foto Sinar Harian
Advertisement

JAKARTA: Gunung Semeru di Jawa Timur meletus tiga kali pada pagi Isnin, memuntahkan abu setinggi 1,000 meter dari puncaknya, menurut pihak berkuasa Indonesia.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), abu tertinggi direkodkan ketika letusan pada 6.28 pagi waktu tempatan, mencecah kira-kira 4,676 meter dari aras laut.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawangnya, letusan itu berlangsung selama 140 saat, selepas dua letusan terdahulu pada 4.20 pagi dan 5.53 pagi yang masing-masing menghasilkan abu setinggi kira-kira 500 meter dan 800 meter dari puncak.

Di lokasi lain di Indonesia, Gunung Ibu di Maluku Utara meletus pada 12.39 tengah malam, memuntahkan abu tebal berwarna kelabu setinggi kira-kira 200 meter dari puncak dan bergerak ke arah timur.

PVMBG memaklumkan letusan itu berlangsung selama 53 saat, manakala Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur meletus pada 4.30 pagi dengan menghasilkan abu setinggi kira-kira 200 meter dari puncak.

Abu berwarna putih dari Ili Lewotolok dilihat bergerak ke arah barat laut, manakala letusan itu berlangsung selama 34 saat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement