Ringkasan AI
- Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan semua daerah di India kini bebas daripada pemberontakan pengikut Mao buat pertama kali dalam sejarah negara.
- Modi membuat pengumuman itu semasa sambutan Deepavali bersama anggota tentera di Daerah Bastar dan memberi penghormatan kepada anggota yang terkorban.
- Pemberontakan Naxalite bermula pada 1967 dan selama ini aktif di beberapa negeri, melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan serta wakil kerajaan.
MOSCOW: Buat julung kalinya dalam sejarah negara, kesemua daerah di India kini bebas daripada pemberontakan pengikut Mao, kata Perdana Menteri Narendra Modi pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Sambutan Deepavali pada 2026 ini benar-benar istimewa! Ini adalah Deepavali pertama sejak negara memenangi pertempuran selama berdekad-dekad menentang Naxalisme dan keganasan pengikut Mao.
"Ini adalah Deepavali pertama menyaksikan setiap daerah di seluruh negara bebas daripada ancaman Naxalisme,” kata Modi seperti dipetik agensi berita ANI sewaktu sambutan Deepavali bersama anggota tentera yang terlibat dalam operasi menentang pemberontakan pengikut Mao di Daerah Bastar.
Modi melawat pangkalan operasi Batalion Komando untuk Tindakan Tegas (CoBRA) di Karanpur yang berfungsi sebagai pusat latihan dan pelancaran operasi di wilayah berkenaan, serta memberi penghormatan kepada anggota yang terkorban di tugu peringatan kem itu, lapor ANI.
Deepavali, yang turut dikenali sebagai Festival Cahaya, merupakan antara perayaan keagamaan dan kebudayaan utama di India.
Perayaan ini disambut secara meluas bukan sahaja di India tetapi juga di negara-negara Asia lain serta komuniti India di seluruh dunia.
Upacara menyalakan lilin dan pelita minyak serta membakar bunga api adalah antara tradisi yang dikaitkan dengan perayaan berkenaan, yang melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.
Secara tradisinya, Deepavali disambut pada Oktober atau November dengan tarikh sebenar ditentukan mengikut kalendar qamari.
Pemberontak pengikut Mao, yang lebih dikenali sebagai Naxalite di India, bergiat aktif di beberapa negeri di tengah dan timur India.
Kumpulan itu melancarkan pemberontakan gerila dengan beroperasi terutamanya di kawasan berhutan serta melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan dan wakil kerajaan.
Pergerakan ini bermula pada 1967 di Perkampungan Naxalbari, tempat dari mana istilah Naxalisme itu diambil.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI