LONDON:Suatu yang hanya sehalus-halus kejadian, mampu melumpuhkan dunia!

Kesemua virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 di seluruh dunia ini, sekiranya dikumpulkan, boleh muat di dalam satu tin minuman.

Reuters melaporkan, perkiraan luar biasa itu adalah merupakan hasil kajian daripada pakar matematik British sekali gus menunjukkan betapa dahsyat permasalahan mampu tercetus hanya kerana partikel virus yang sangat halus.

Berdasarkan statistik kadar jangkitan baharu pandemik itu, dan disertai formula pengiraan teliti tentang penggandaan virus, pakar matematik Universiti Bath, Kit Yates, membuat jangkaan bahawa terdapat sehingga dua quintilion, atau dua bilion bilion - partikel virus SARS-CoV-2 di dunia pada satu-satu masa.

Memperincikan langkah pengiraannya, Yates berkata, dia menggunakan diameter virus berkenaan, iaitu secara purata lebih kurang 100 nanometer (satu per 100 bilion daripada semeter). Dia juga mengambil kira isipadu virus berbentuk sfera itu.

Yates berhujah, walaupun sudah menghitung pembentukan protein virus korona itu dan hakikat bahawa terdapat 'ruang kosong' apabila partikel virus sfera itu dihimpit bersama, jumlah keseluruhannya masih kurang daripada tin minuman berisipadu 330 mililiter.

"Sangat mengagumkan apabila memikirkan bahawa semua masalah itu, gangguan ini, keperitan ini, dan setiap nyawa yang terkorban sejak tahun lalu, berpunca daripada suatu yang amat sedikit," kata Yates dalam satu kenyataan.

Setakat ini, lebih daripada 2.34 juta manusia telah meninggal dunia akibat pandemik COVID-19, dan kira-kira 107 juta kes jangkitan di seluruh dunia.