Senator AS cadang larang rakyat AS diberikan dwi kewarganegaraan

Pada Isnin, Moreno memperkenalkan Akta Kewarganegaraan Eksklusif 2025 bagi menetapkan bahawa warga AS mesti mempunyai kesetiaan tunggal dan eksklusif kepada negara itu. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Senator Republikan dari Ohio, Bernie Moreno memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) kepada Senat untuk melarang dwi kewarganegaraan di Amerika Syarikat (AS), lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Hari ini (Isnin), Senator Bernie Moreno (R-Ohio) memperkenalkan Akta Kewarganegaraan Eksklusif 2025 bagi menetapkan bahawa warga AS mesti mempunyai kesetiaan tunggal dan eksklusif kepada negara itu," menurut kenyataan di laman sesawang beliau.
Menurut RUU itu, individu yang memegang kewarganegaraan dua negara mungkin menghadapi konflik kepentingan, serta persoalan mengenai kesetiaan mereka terhadap negara. Adalah dinyatakan bahawa melarang dua kewarganegaraan adalah demi kepentingan negara AS.
Di bawah cadangan senator itu: Jika seorang warga AS memperoleh kewarganegaraan negara lain, secara automatik kewarganegaraan AS mereka akan terlucut.
Mereka yang sudah memiliki dua kewarganegaraan dikehendaki untuk melepaskan satu daripada kewarganegaraan mereka dalam tempoh setahun dari tarikh undang-undang itu berkuat kuasa.
Jika tidak berbuat demikian, mereka akan dianggap secara sukarela menolak kewarganegaraan AS mereka.
Antara rakyat Amerika yang terkenal yang memegang dwi kewarganegaraan ialah Wanita Pertama Melania Trump dan anak lelakinya bersama Presiden Donald Trump, Barron Trump, kedua-duanya memegang pasport Slovenia. Jutawan teknologi Elon Musk pula memegang kewarganegaraan AS, Afrika Selatan dan Kanada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



