LONDON: Seorang migran masih hilang manakala 87 yang lain diselamatkan selepas menghadapi kesukaran ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris menggunakan sebuah bot kecil, lapor PA Media/dpa.
Menurut pihak berkuasa Perancis, bot getah itu mula menghadapi masalah pada petang Sabtu ketika masih berada dalam Kawasan Mencari dan Menyelamat Perancis.
Operasi menyelamat kemudian dilancarkan dan “semua sumber yang ada” dikerahkan untuk membantu mereka yang menaiki bot berkenaan, menurut pihak berkuasa maritim Perancis bagi Selat Inggeris dan Laut Utara.
Kapal bantuan RIAS Abeille Normandie menyelamatkan 87 orang, termasuk seorang yang mengalami hipotermia, manakala seorang individu dilaporkan hilang.
Operasi pencarian berskala besar membabitkan kapal, pesawat dan helikopter turut dilancarkan bagi mengesan individu yang hilang sebelum ditamatkan beberapa jam kemudian pada 10 malam waktu tempatan (2100 GMT).
Mangsa yang diselamatkan kemudian dibawa turun di Pelabuhan Calais dan disambut oleh petugas kecemasan, menurut pihak berkuasa.
Menurut media Perancis, mayat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ditemukan di Pantai Sainte-Cecile di Camiers, Pas-de-Calais, utara Perancis kira-kira 8 pagi Sabtu.
Penemuan itu menyusuli operasi menyelamat yang dilancarkan bagi membantu beberapa individu yang menghadapi kesukaran ketika cuba menyeberangi selat berkenaan pada waktu malam selepas bertolak dari pantai yang sama, menurut laporan itu.
Lima lelaki yang mengalami gejala hipotermia diselamatkan oleh pasukan bomba Perancis, menurut media.
Menurut angka terkini Kementerian Dalam Negeri Britain, sebanyak 23,529 orang telah menyeberangi Selat Inggeris sejak awal 2026.
Jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding lebih 41,000 orang yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa