BERLIN: Gangguan perkhidmatan Microsoft dikenal pasti sebagai punca keracunan klorin yang menjejaskan 15 individu di sebuah kolam renang di taman hiburan di bandar Bruehl, barat Jerman, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik penyiar WDR.
Pada Sabtu, akhbar Bild melaporkan kejadian itu menyebabkan beberapa daripada individu berkenaan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Menurut penyiar itu, gangguan perkhidmatan Outlook menyebabkan e-mel tidak dapat diterima, sekali gus menyebabkan tiada pihak menyedari bahawa sistem pemantauan telah menghantar amaran melalui e-mel mengenai kepekatan klorin yang melebihi paras selamat.
Menurut penyiar itu, "dosing system" yang beroperasi secara automatik telah melepaskan klorin secara berlebihan ke dalam kolam renang berkenaan.
Menurut WDR, air kolam renang itu telah diganti susulan kejadian berkenaan dan kemudahan itu kini dibuka semula kepada pengunjung.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI