Ringkasan AI
- Anthony Loke menegaskan Perdana Menteri tidak perlu tunduk kepada desakan membubarkan Parlimen selagi mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.
- Kerajaan disaran memanfaatkan baki setahun penggal untuk melaksanakan agenda reformasi, termasuk pindaan Perlembagaan dan penggubalan undang-undang baharu.
- Pakatan Harapan kekal menyokong kepimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
KLUANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal selagi beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata kerajaan pimpinan Anwar masih mempunyai baki kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran, justeru tempoh itu wajar dimanfaatkan untuk menumpukan perhatian kepada pelaksanaan agenda reformasi dan dasar penting negara.
"Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu ditunduk kepada mana-mana tekanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini hari ini.
Loke mengulas desakan pihak tertentu supaya Parlimen dibubarkan lebih awal bagi menangani kemelut politik semasa.
Beliau berkata antara keutamaan kerajaan pada masa ini ialah memperkasakan reformasi perundangan yang dirancang, termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan undang-undang baharu.
Loke berkata usaha itu penting bagi memperkukuh tatakelola pentadbiran, memantapkan pengurusan kewangan negara serta memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Perdana Menteri seharusnya memanfaatkan tempoh setahun ini untuk melaksanakan kerja-kerja dan reformasi tersebut, dan bukannya tunduk kepada mana-mana tekanan untuk membubarkan Parlimen," katanya.
Mengulas kedudukan dari sudut perlembagaan, Loke berkata kuasa untuk menentukan pembubaran Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan pendirian pimpinan Pakatan Harapan yang konsisten menyokong kepimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara demi kepentingan rakyat dan negara.
-- BERNAMA