TEHRAN: Sekurang-kurangnya seorang maut dan dua lagi cedera selepas penyerang yang menggunakan senjata api automatik menyerang Kedutaan Azerbaijan di Tehran pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan (0500GMT) apabila lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pengawal kedutaan di utara Tehran, lapor Agensi Anadolu memetik sumber tempatan.

Ketua perkhidmatan keselamatan kedutaan itu terbunuh dalam serangan itu manakala dua pengawal cedera.

Penyerang berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan, kata ketua polis Tehran Hossein Rahimi kepada pemberita di tempat kejadian dan mengesahkan kematian seorang pengawal.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan untuk menyiasat insiden itu dan siasatan awal mendapati motif serangan disebabkan "masalah peribadi dan berkaitan keluarga" dengan penyerang memasuki kedutaan bersama dua anak kecil.

Beberapa laporan tempatan menyebut penyerang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun, ditemani dua kanak-kanak -- seorang perempuan berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 7 tahun -- yang identitinya masih tidak diketahui.

Kenyataan Kementerian Luar Azerbaijan memaklumkan penyerang bersenjata itu "memusnahkan pos pengawal dengan senjata automatik Kalashnikov" dan keadaan dua pegawal yang cedera itu dilaporkan stabil.

Penyerang mendakwa isterinya pergi ke kedutaan pada April tahun lalu dan tidak pulang.

Walaupun berulang kali mengunjungi kedutaan untuk mengetahui keberadaan isterinya, dia tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak yang berkenaan.

-- BERNAMA